Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah memutuskan penggunaan shisha dan rokok elektronik ataupun vape dalam kalangan umat Islam di negeri ini adalah haram, berikutan sifatnya yang memudaratkan kesihatan.
Mufti negeri, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata perkara itu diputuskan berdasarkan hujah dan pandangan anggota muzakarah pada muzakarah khas jawatankuasa majlis fatwa negeri mengenai penggunaan bahan tersebut.
Menurutnya keputusan juga dibuat berpandukan dalil hukum dan perspektif syarak yang mengharamkan perbuatan serta pengambilan bahan yang memudaratkan diri dan tubuh badan.
“Oleh itu, umat Islam (di Sabah) adalah dilarang menghisap shisha, rokok elektronik vape atau apa-apa aktiviti berkaitan termasuk menjualnya. Syariat Islam melarang perbuatan dan tindakan yang boleh memudaratkan diri,” katanya kepada pemberita selepas muzakarah itu, di sini hari ini.
Bungsu berkata pihaknya akan memanjangkan keputusan itu kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk langkah dan proses selanjutnya sama ada keputusan itu akan diwartakan atau sebaliknya.
“Selepas diwartakan, baru ada pelaksanaan dari segi undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya.
Sebanyak 10 anggota jawatankuasa menghadiri muzakarah khas itu terdiri daripada ahli akademik universiti tempatan, penasihat syariah dan hakim rayuan syariah. — BERNAMA
إرسال تعليق