FAZRUL TEKAD BANTU SABAH
FAZRUL Nawaz ingin membantu Sabah Rhinos mencipta kejayaan musim depan dan yakin pasukan ini berada di landasan terbaik untuk bangkit menjadi salah satu pasukan digeruni dalam Liga Malaysia 2015.
Pemain berusia 29 tahun itu, berkata kehadiran dua bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu El Hadji Diouf dan Abdoulaye Faye mampu memberi impak kepada pasukan untuk menjadi antara pencabar utama kepada pasukan lain dalam Liga Perdana.Beliau yang memiliki ketinggian 1.79 meter turut menyifatkan peluang berlatih serta beraksi bersama dua bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai salah satu pengalaman paling berharga dalam kariernya.
“Walaupun saya juga pemain import, namun saya rasa peluang bermain bersama Diouf dan Faye selain penyerang dari Libya, Eamon Zayed adalah satu pengalaman berharga.
“Mereka pemain yang berkualiti dan sudah pasti saya dan rakan-rakan lain dalam pasukan akan mengambil peluang ini untuk menimba ilmu daripada mereka,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Likas, di sini, baru-baru ini.
PEMAIN PERLU KERJASAMA
Pemain nombor 10 Singapura yang turut bermain pada Piala AFF Suzuki baru-baru ini itu juga berharap semua pemain akan bekerjasama dan bekerja keras untuk membantu pasukan ‘mencipta sesuatu’ musim depan.“Saya percaya Sabah berada pada landasan terbaik terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri kerana mendapat sokongan padu penyokong tempatan.
“Selain itu Sabah juga tidak kurang hebatnya apabila dibarisi beberapa pemain hebat seperti Diouf dan Faye,” katanya.
PENGURUSAN TERBAIK
Sementara itu, Fazrul berkata kemesraan penduduk di sini membuatkan pemain yang pernah bersama Lions XII itu ‘jatuh cinta’ dengan Sabah walaupun baru ‘bertapak’ di negeri bawah bayu.“Meskipun saya baru beberapa hari di Sabah, saya akui pengurusan pasukan sentiasa menjaga kami dengan baik sejak saya menjejakkan kaki ke sini penghujung Disember lalu.
“Saya mula mengenali Sabah ketika zaman kanak-kanak lagi, ketika itu pasukan Singapura masih bermain di Liga Malaysia dan Sabah adalah salah satu pasukan digeruni,” katanya.
Beliau turut gembira apabila dapat menyarung jersi Sabah dan dibimbing oleh bekas pemain Sabah yang pernah menjadi idolanya seperti Jelius Ating dan Burhan Ajui.
Fazrul yang terkenal dengan ‘trademark’ menggunakan pelindung kepala ketika beraksi sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab dalam Liga Singapura termasuk Geylang United, Young Lions, Gombak United dan Singapore Armed Forces pada tahun 2003 hingga 2012.
Beliau kemudian beraksi dalam Liga Super bersama Lions XII sebelum kembali ke Liga Singapura bersama Home United.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق