Coretan Pemuda Semenanjung, Beri Pandangan Berbeza Tentang Gempa Bumi Di Sabah!

Kickbola.net
Nota Admin: Pandangan dan luahan ini asalnya di kongsikan di Facebook Muhammad Najib atau lebih dikenali sebagai Lucius Maximus, pemuda yang pernah menetap di Sabah dan juga orang kuat Syarikat Buku Dubook Press. Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis. Semoga bermanfaat untuk renungan bersama.
Pernah Menetap Di Sabah, Pemuda Ini Berikan Pandangan Berbeza Tentang Gempa Bumi Di Kinabalu

I. Pernah aku tulis sebelum ini ketika banjir di Kelantan, bila berlaku bencana alam janganlah kita cuba berlagak pandai mengatakan itu hukuman atau bala dari Tuhan.

Cukuplah kita ambil sebagai peringatan bahawa itu bukti kekuasaan Tuhan, dan berfikirlah sekadar apa yang kita tahu dari ilmu alam dan logik akal.

Seperti gempa di Sabah, cukuplah kita terjemahkan bencana ini melalui apa yang kita tahu tentang perihal geologi. Jangan pula kita nak kata gempa ini kerana Sabah tidak melaksanakan hudud atau terlalu kerap moginum di sekitar kawasan Kundasang.

Bukan juga disebabkan ada beberapa ekor monyet yang bodoh sombong berbogel di puncak Kinabalu beberapa hari sebelum gempa meletus.

Pun begitu, tradisi masyarakat Dusun meletakkan Kinabalu sebagai satu tempat suci dan keramat. Walaupun ramai yang kini menganuti agama Kristian atau Islam, mereka masih berpegang pada tradisi ini.

Kinabalu bukan sekadar gunung bagi mereka, tapi lebih dari itu. Tradisi dan kepercayaan turun temurun masyarakat sekitar banyak bertunjangkan pada gunung tertinggi di Malaysia ini.

Malahan setahu aku ada masyarakat Dusun yang menjadikan rutin tahunan mereka untuk mendaki Kinabalu sebagai ‘pilgrimage’ kerana kepercayaan atau sekadar menyanjungi tradisi.

Yang sebenarnya, tidak kisahlah jika seseorang itu menganuti Islam atau Kristian atau pun agama tradisi Dusun, kita semua diajar untuk menghormati adat dan kepercayaan orang lain.


Apatah lagi di tempat indah seperti Kinabalu yang dicipta Tuhan. Untuk kita berbogel, kencing atau berak di puncak Kinabalu adalah seperti menghina keagungan mahakarya Tuhan dan keindahan alam.

Tetapi oleh kerana mahu nampak lain dari yang lain, ada di antara kita yang melampau hingga tidak mengambil kira sensitiviti tempatan. Berbogel di puncak Kinabalu tidak mencetuskan gempa bumi, tapi ia boleh membuat seluruh Sabah gempa dengan rasa marah.

II. Seperti banjir di Kelantan dan bencana-bencana lain sebelum ini, kita masih banyak perlu belajar tentang Search and Rescue (SAR) yang lebih efisien.

Terutama sekali dalam kepantasan bertindak dan dalam lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan, “semua terkawal dan selamat” (tetapi kemudian muncul berita mangsa terkorban dan sebagainya).

Tetapi mungkin, dalam kes gempa di Sabah ini agensi penyelamat kita berdepan bencana yang unik iaitu menyelamatkan ratusan pendaki yang terperangkap di puncak gunung akibat gempa.

Senario yang mungkin sebelum ini kita tidak menjangka lalu ada kekalutan di peringkat awal yang membawa kepada kelewatan bertindak.

Betul, ramai malim gunung yang terdiri dari warga Dusun tempatan menjadi wira sebenar dalam operasi SAR. Dan memang patut kerana mereka inilah yang ratusan bahkan mungkin ribuan kali naik turun gunung, yang lebih mengenali muka bumi dan laluan.

Mereka pasti lebih arif tentang susuk Kinabalu berbanding bomba, tentera, paramedik dan anggota penyelamat yang lain. Juga perlu kita ambil kira ialah ‘acclimatisation’ mereka terhadap altitud tinggi.

Dan kita juga perlu ingat, usaha menyelamat menggunakan helikopter walaupun bunyinya mudah, tetapi tidak bila ia dilakukan di cerun gunung pada ketinggian lebih 3,000 meter dengan udara yang nipis dan tiupan angin yang kuat serta tidak menentu.

Tidak semua jenis helikopter boleh melakukannya dan bukan calang-calang juruterbang yang mampu mengendalikan penerbangan sebegitu.


III.  Aku pernah menetap 3 tahun 7 bulan lamanya di Sabah dan walaupun sudah hampir seluruh pelusuk negeri dikunjungi, entah bagaimana aku belum pernah sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

Silap besar, lebih-lebih lagi selepas gempa yang mengubah fizikal Kinabalu dari yang kita kenali sebelum ini.

Selama bertahun di Sabah, hampir setiap pagi aku bermula dengan panorama Kinabalu. Melihatnya tidak pernah gagal untuk menerbitkan rasa kagum, hormat dan terharu. Kinabalu adalah tunjang, paksi, ‘beacon’, ‘obelisk’ dan simbol negeri Sabah. Ia boleh dilihat terus dari kebanyakan kawasan di Sabah, baik secara zahir atau pun secara manifestasinya pada bendera dan jata negeri Sabah.


Lantaran jelaslah betapa besarnya peranan Kinabalu khususnya untuk rakyat negeri Sabah. Bila ada monyet bodoh sombong yang membuat onar di puncak Kinabalu ianya menjadi satu penghinaan untuk rakyat Sabah.

Bila Kinabalu ditimpa bencana dan tercalar ianya mengguris hati rakyat Sabah. Kinabalu adalah anugerah Tuhan sebagai identiti dan kebanggaan rakyat Sabah dan kita rakyat Malaysia amnya (kerana kita pun hampir setiap hari nampak Kinabalu di belakang not RM1 lama atau RM100 baru).


Selepas gempa ini, memang perlulah aku tanamkan azam kembali untuk mendaki Gunung Kinabalu.

Post a Comment

أحدث أقدم