RANAU: Kerosakan kemudahan di Gunung Kinabalu akibat gempa bumi Jumaat lalu sukar dipulihkan dalam masa singkat.
Ia pandangan beberapa malim gunung yang memiliki pengetahuan luas mengenai gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.Moidin Sompot, 56, berkata kerosakan teruk berlaku di laluan pendakian utama bermula dari Pondok Ubah yang hanya terletak kira-kira 1.5 kilometer dari titik mula pendakian di Pondok Timpohon.
Beliau berkata, laluan mendaki selepas Pondok Ubah bukan saja runtuh, malah banyak yang tertimbus batu yang runtuh dari puncak.
"Hampir semua laluan itu mengalami kerosakan teruk dan kalau pun ada yang masih kekal, ia belum tentu selamat dilalui pendaki tidak berpengalaman.
"Begitu juga kemudahan lain seperti pondok rehat di kem persinggahan di Laban Rata, Panar Laban dan Sayat-Sayat. Semuanya mengalami kerosakan teruk," katanya.
Justeru katanya, tempoh tiga minggu yang diperuntukkan untuk membaiki semua kerosakan, tidak mencukupi kerana banyak halangan yang akan dilalui.
"Selain kesukaran petugas untuk membawa peralatan, runtuhan kerap berlaku kerana struktur tanah dan batu yang semakin longgar selepas kejadian Jumaat lalu," katanya.
Nor Hafidzy Norbert, 41, pula berkata beliau berkesempatan menyaksikan kemusnahan yang berlaku di Laban Rata dan Panar Laban, ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat sejak dua hari lalu.
"Ada bangunan di Panar Laban musnah keseluruhannya selepas ditimpa batu besar dan melihat keadaan itu, saya rasa mustahil kemudahan di Gunung Kinabalu dapat dipulihkan dalam tempoh kurang sebulan," katanya.
Sementara itu, Suani Koyopo, 61, pula berkata, kerosakan teruk yang berlaku itu pertama kali pernah disaksikannya walaupun gegaran kuat pernah berlaku pada 1991.
"Ketika itu, beberapa bangunan di Ranau mengalami kerosakan tetapi Gunung Kinabalu langsung tidak terjejas.
"Kali ini memang amat berbeza kerana bukan sahaja kemudahan rosak, malah landskap gunung itu juga turut berubah," katanya.
SEBAHAGIAN daripada malim gunung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu. - Foto BERNAMA
إرسال تعليق