KUNDASANG, 9 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada kerajaan negeri Sabah untuk kerja baik pulih Taman Kinabalu yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi yang melanda Ranau Jumaat lalu.
Beliau berkata pemulihan taman itu adalah penting kerana ia merupakan tapak warisan negara dan juga dunia."Ia adalah sebagai tanda sokongan kerajaan pusat dalam kerja-kerja pemulihan akibat kerosakan gempa bumi," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa dan waris mangsa gempa bumi di Taman Kinabalu hari ini.
Beliau turut mencadangkan tiga perkara untuk menambah baik tahap keselamatan taman itu termasuk menambah sensor pengesan gegaran berteknologi terkini dalam memantau aktiviti gempa untuk memberi amaran awal.
"Walaupun teknologi terkini tidak ada yang boleh mengesan kejadian gempa bumi berskala besar dengan lebih awal, sekurang-kurangnya dengan adanya sensor seperti itu kita dapat mengesan gegaran-gegaran kecil dan kita boleh buat keputusan sama ada nak buat amaran gempa bumi atau tidak," katanya.
Kedua, Najib mengesyorkan supaya semua malim gunung yang hendak membawa kumpulan pendaki ke puncak gunung itu wajib membawa alat 'walkie-talkie' yang berguna sewaktu kecemasan.
Selain itu, perdana menteri mencadangkan supaya semua tempat pendaratan helikopter sedia ada di taman itu diperbesarkan untuk menampung pendaratan helikopter tentera.
Beliau turut menjawab pertanyaan tentang kemungkinan meningkatkan tahap umur kepada 15 tahun bagi pendaki gunung berkenaan.
Najib berkata: "Saya tidak fikir begitu kerana ada bahagian tertentu gunung ini yang akan menarik minat kanak-kanak sekolah untuk belajar mengenai flora dan fauna, dan mereka tidak perlu pun mendaki puncak Gunung Kinabalu itu.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu berlaku kira-kira 7.15 pagi Jumaat dan 16 orang rakyat tempatan serta warga asing disahkan terkorban setakat ini.
-- BERNAMA
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق