Kisah Benar Pengalaman Hampir MATI Penumpang Air Asia AK278 Yang Diserang Ribut Kuat Ketika Cuba Mendarat Di Brunei.
40 minit berlegar di udara - "Pertama kali saya rasa saya tak ada harapan hidup langsung"
Tulisan ini dikongsikan oleh Normi Binti Ahmad Shafie yang menceritakan pengalaman buruk ketika berada di dalam pesawat menuju ke Negara Brunei. Keadaan cuaca yang tidak baik di kawasan sekitar Sabah & Sarawak dan juga Brunei turut menjejaskan penerbangan pesawat komersil. Baca lagi:
Kapal terbang sepatut mendarat 3.30 petang, tapi gagal mendarat. Brunei menyambut AK 278 dengan ribut.
Kapal terbang terhuyung hayang mendekati lapangan terbang Brunei. Tayar sudah dikeluarkan namun angin menggoncang kapal terbang mengalahkan bas RAPID B114.
Kapal terbang sedikit terjunam. Ada wanita yang membaca ayat al-Quran dengan kuat sehingga kedengaran seluruh perut kapal. Orang putih di belakangnya tersenyum sinis, mungkin dia tak rasa keadaan ini akan berlanjutan hingga 40 minit seterusnya.
Kapal terbang segera dinaikkan segera dan gagal mendarat. Ribut makin ganas. Tayar kapal terbang dimasukkan kembali. Kami bertarung dengan ribut. Kapal terbang terhuyung hayang cuba keluar dari awan gelap pekat.
Selepas 5 minit kapal terbang bergegar keras. Saya lihat bumbung kapal bergegar macam nak tanggal pun ada. Badan bergoncang ke kiri dan kanan.
Bacaan al-Quran wanita tadi menenangkan sedikit hati saya. Namun orang putih sudah tak senyum lagi.
Kapten Najib bersuara. Katanya AK278 tak berjaya mendarat dan terpaksa menangguhkan pendaratan. Kami terpaksa berlegar-legar di atas laut yang kelihatan bergelora, sangat dekat dan jelas kelihatan.
Kata Kapten Najib, mereka sedang memikirkan jika AK278 perlu mendarat di kawasan lain namun akan memberitahu kami jika sudah membuat keputusan.
Untuk kali ketiga, kapal terbang bergoncang. Kali ini kami seolah-olah hampir terjunam. Kapal terbang kami tak stabil, sayap kanan dan kiri ditolak angin macam kapal terbang kertas.
Kali ni penumpang menjerit Allahuakbar. Dia tak berseorangan. Penumpang yang beragama Islam turut sama bertakbir dan bertahlil.
Kali ni tubuh saya menggeletar. Saya nak menangis. Saya teringat mak. Pertama kali saya rasa saya tak ada harapan hidup langsung. Saya berdoa minta Allah beri peluang saya sekali ini untuk hidup.
Jika saya belum layak masuk syurga sekarang ini, saya mohon agar diberi sedikit masa lagi untuk bersungguh-sungguh bertaubat. Tapi terfikir juga mati di bulan Ramadhan adalah rezeki.
Kali ini, penumpang Kristian berdoa mengikut cara masing-masing. Ada penumpang Cina sedang menangis. Ada saya nampak seorang lelaki Melayu juga menangis.
Saya pun nak menangis. Tapi saya tahan. Badan saya tak berhenti menggeletar. Jantung saya macam nak pecah. Agaknya mesti pucat muka saya kerana saya lihat tangan saya putih tak ada darah.
Kali ke-empat, kapal terbang bergoncang lagi. Berkali-kali kapal terbang cuba masuk ke ruang udara Brunei tapi gagal, kerap kali diserang ribut.
Selepas 40 minit berlegar di udara dan berperang dengan ribut. Malah 2 kali kapal seolah-olah hampir terjunam, kapal terbang mengeluarkan roda ingin mendarat.
Pendaratan dilakukan dalam keadaan sangat bahaya. Sangat tak stabil dan masih terhuyung hayang ketika menghampiri darat. Akhirnya roda terhentak kuat, semua orang terjerit kecil.
Dan alhamdulillah kami selamat. Kapten Najib terus berucap sambil mengucapkan alhamdulillah. Mendengar 'alhamdulillah' keluar dari kapten, saya dan penumpang lain hampir menitiskan air mata.
Kami semua lega dan bersyukur. Muka masing-masing pucat.
Mak, nomi lupa nak minta maaf. Status akhir nomi tadi nomi hanya cakap nomi sayang mak. Tadi nomi ingat nomi tak sempat minta maaf dengan mak. Mak, maafkan semua salah nomi dan halalkan susu mak dan segala apa yang mak pernah bagi pada nomi.
Dan mohon maaf buat semua sahabat.
Brunei ribut. Tempahan hostel dibatalkan kerana Kg Ayer juga terjejas dengan ribut. Sana sini pokok tumbang. Maaf nanti saya 'update' lagi.
Gambar di atas diambil orang Brunei dari arah offshore di ruang laut Brunei. Kami berada dalam awan itu tadi.
JOM STORY - PENGALAMAN PENUMPANG MALAYSIA MENDARAT KE LAPANGAN TERBANG BRUNEI SEMASA RIBUT (part 2)
Kami mendarat dengan perasaan bercampur baur. Ramai yang bergenang air mata dan ada dua tiga orang yang saya terlihat menangis.
Bila kami dibenarkan turun, semua beriya-iya mahu segera keluar, kami
tak sanggup berada di perut kapal lagi. Wajah anak kapal tetap tenang
walaupun mereka sendiri ketakutan. Mereka senyum tapi senyuman mereka
seolah-olah nak kata, 'Alhamdulillah kita selamat.'
Selama 40
minit bertarung di dalam ribut, wanita yang saya tak tahu mana satu
orangnya tak henti-henti membaca ayat al-Quran dengan kuat. Bila kapal
terbang bergoncang hebat dan agak menjunam, dia mengetuai laungan
Allahuakbar. Saya sedikit tenang mendengar bacaan dan takbir dari wanita
itu. Nak sangat ucap terima kasih kepadanya. Tiba di imigresen Brunei,
pegawai tersebut bertanya perasaan saya ketika di atas kapal terbang.
Saya katakan saya ingat saya akan mati. Orang lain sama-sama mengangguk
dan bergenang air mata.
Nampaknya semua orang di lapangan terbang
tahu perjuangan kami di atas sana. Mereka nampak awan hitam tebal dan
ribut badai, ya, kami di dalam sana. Azimah sudah menanti dan terus
bertanya keadaan saya. Walaupun baru pertama kali berjumpa, kami terus
berkongsi cerita macam dah lama kenal. Saya masih terkejut dan meluahkan
perasaan padanya. Kami ke masjid di lapangan terbang.
Kami solat di
situ
dan saya bersujud syukur. Menangis saya di hadapan Allah kerana
tak sangka diberi peluang hidup. Betul, saya ingat tak mungkin saya
selamat.
Ketika memandu keluar, pokok tumbang di kiri kanan. Kami
singgah di masjid As-Shalihin sementara menunggu waktu berbuka. Di situ
ada majlis pengislaman saudara baru. Dirai seperti pengantin. Sebelum
tiba di situ, Azimah mendapat panggilan dari hostel di Pusat Belia,
mereka batalkan tempahan kerana bersiap sedia membantu mangsa di Kampung
Ayer. Runsing, di mana mahu tidur malam ni. Azimah pasti ada masalah
lain di rumahnya kerana dia tak berani
mengajak saya ke sana. Dia cuba menghubungi
penginapan lain dan mesej teman-temannya.
Kemudian kami ke kawasan Serusop.
Azimah mencari restoran yang lain kerana restoran yang ditempah Azimah
membatalkan tempahan kerana ribut. Niat nak ke pasar Ramadhan pun
dibatalkan kerana kebanyakan khemah-khemah peniaga berterbangan. Banyak
yang musnah. Di Serusop kami makan bihun dan mi sup saja. Panggilnya
Soto Bunut. Saya masih terkenang-kenang keadaan di atas udara tadi.
Hilang lapar, tiada perasaan mahu makan ketika itu.
Saya menaip status petang tadi dengan tangan
menggeletar. Saya sorok-sorok sedikit ketakutan saya agar Azimah tak
perasan. Genang air mata pun saya sorok, malu. Selepas berbuka, kami ke
Masjid Jame' Asr Hasanul Bolkia sambil menunggu respon teman Azimah.
Kami solat maghrib, isyak dan terawih di situ. Masjidnya
sangat
indah tapi hati saya masih gementar. Ketika meninggalkan bandar itu,
jalan sesak dek kerja-kerja membersihkan jalan dari pokok-pokok
yangtumbang menghempap jalan.
Ada rumah-rumah yang atapnya
terbang. Banyak garaj kereta yang runtuh. Banyak juga kereta-kereta
rosak dihempap bumbung garaj, pokok dan papan tanda. Kami ke kawasan
yang berdekatan dengan Limbang. Azimah menumpangkan saya di rumah Arin
yang tinggal bersama keluarganya. Rumahnya besar dan luas.
Saya
disambut Arin dan ibunya. Kami berbual dua jam bercerita kisah kapal
terbang dan mereka ceritakan tentang kejadian ribut yang paling teruk
berlaku kali ini.
Mereka sendiri tak sangka. Azimah sudah segera
pulang selepas menghantar saya. Rupa-rupanya kata Arin, bumbung rumah
Azimah terbang dan rumahnya rosak dilanda ribut. Kasihannya Azimah. Tapi
sebenarnya Azimah belum tahu keadaan rumahnya, itu kata Arin.
Azimah cuma segan mahu menumpangkan saya kerana rumahnya agak kecil
sedikit dan ahli keluarganya ramai. Tak mengapa saya faham. Saya
bersyukur Allah temukan saya dengan orang-orang Brunei yang baik hati
ini. Keluarga Arin melayan saya dengan sangat baik.
Azimah pun
sungguh-sungguh membantu saya sejak saya di Malaysia lagi. Namun semua
rancangan kami gagal hari ni. Manusia merancang, tapi Allah mahu memberi
saya pengalaman yang berbeza.
Sekarang saya di bilik Arin. Sedang
menaip dengan tangan yang masih menggeletar. Di berita TV Brunei keluar
macam-macam cerita ribut di semua tempat di negara ini.
*************
Ribut yang berlaku di Sabah dan Brunei adalah tempias dari Taufan Chan-Hom yang berlaku di bahagian utara Filipina pada waktu yang sama ketika ribut melanda Brunei
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق