SEORANG pereka grafik muda dari Sabah, Diana Michelle Culey, 24, mencipta sejarah apabila menghasilkan plat peringatan untuk meraikan 175 tahun sejak pelayaran menyeberangi Lautan Atlantik, yang pertama dalam tahun 1840.
Sabtu lalu, pada hari kapal Queen Mary 2 berlabuh di Liverpool sebelum memulakan meneruskan pelayaran ke Halifax, Boston dan New York (perjalanan serupa yang dilalui 175 tahun lalu), plat peringatan karya Diana menjadi rebutan. Malah, Diana menjadi tumpuan apabila beliau diminta menandatangani 300 plat edisi terhad yang tercatat singkatan namanya, DMK.Plat itu dikeluarkan oleh syarikat pembuat cenderahati, Winston Elizabeth & Windsor of London.
Diana meninggalkan kediamannya di Kota Kinabalu untuk mencari pengalaman bekerja di Liverpool dan beliau sama sekali tidak menyangka akan menjadi sebahagian daripada warisan dan sejarah bandar Liverpool.
"Ya, saya gembira dan sungguh tidak percaya yang semua ini berlaku," kata Diana ketika dihubungi.
DIANA bersama plat peringatan meraikan 175 tahun pelayaran menyeberangi Lautan Atlantik.
Menceritakan bagaimana perkara itu berlaku, Diana berkata, ia bermula apabila beliau bertemu dengan kakitangan Winston Elizabeth & Windsor of London, yang memintanya bekerja dengan mereka selepas syarikat tempat Diana bekerja sebelum itu, tutup.
Syarikat itu amat berminat dengan hasil kerja Diana dan meminta beliau untuk menghasilkan rekaan plat meraikan 175 tahun pelayaran seberang Atlantik oleh syarikat perkapalan Cunard. Pada 4 Julai 1840, kapal MS Britannia belayar meninggalkan pelabuhan di Mercy, Liverpool menuju Halifax dan Boston di Amerika Syarikat.
Pada 4 Julai, baru-baru ini, kapal Queen Mary 2 memainkan semula acara bersejarah itu dan akan melakukan pelayaran seperti 175 tahun lalu.
Diana berkata, beliau mengambil masa kira-kura dua hingga tiga minggu untuk menghasilkan rekaan pada pinggan itu.
"Bila saya mula bekerja, idea akan datang mencurah-curah.
Saya juga membuat penyelidikan mengenai Queen Mary 2 sebelum menghasilkan rekaan," katanya sambil menambah ibu bapanya tidak tahu mengenai kejayaannya itu.
Bapa Diana bekerja sebagai mekanik di negeri kelahirannya, manakala ibunya adalah suri rumah sepenuh masa.
Datuk Diana pula seorang bekas anggota tentera British yang berasal dari Newcastle.
Berkongsi kejayaannya, Diana juga membantu menghasilkan syiling peringatan untuk Obama dan menghasilkan plat peringatan untuk kapten pasukan bola sepak Liverpool, Steven Gerrard. Diana kini dalam penerbangan pulang ke Sabah untuk bersama keluarganya.
Wanita muda ini akan pulang ke Liverpool untuk memulakan projek yang menunggu, yang antara lainnya ialah hadiah peringatan untuk Hilary Clinton, dipercayai menggunakan kristal Swarovski.
Maurice Alexander dari Winston Elizabeth & Windsor of London, berkata syarikatnya menawarkan Diana kerja apabila mengetahui syarikat tempat Diana bekerja menghentikan operasi.
"Diana seorang yang sangat rajin dan tidak berhenti-henti menghasilkan pelbagai rekaan yang menarik. Dia seorang yang begitu pintar dan berbakat, " katanya.
Kapal Queen Mary 2 berlabuh di Terimal Cruise Liner Terminal berhampiran dengan Hotel Crown Plaza di Liverpool sebelum belayar ke Halifax, Boston dan New York.
Plat peringatan yang direka oleh Diana mempunyai gambar asal kapal Britannia, yang membuat pelayaran pertama dari Sungai Mercy pada 4 Julai 1840.
DIANA di hadapan kapal Queen Mary 2, yang mengulangi pelayaran menyeberangi Lautan Atlantik ke Halifax, Boston dan New York. Gambar kedua adalah gambar Queen Mary 2, yang dihiasi emas 22 karat.
Ia diserahkan kepada Kapten Queen Mary 2 setibanya ia di pelabuhan di Liverpool, Sabtu lalu dan Diana sendiri menghadiahkan sebiji plat kepada Datuk Bandar Liverpool, Tony Concepcion. Tiga biji plat serupa kini dalam pelayaran untuk disampaikan kepada Datuk Bandar Halifax, Boston dan New York.
Kata Alexander: "Saya rasa wanita dari Sabah ini akan terus berjaya. Seorang pelukis di Liverpool, Stefan Adamache Michael Angelo, begitu kagum dengan hasil tangannya dan ingin bekerjasama apabila dia pulang ke Liverpool nanti".
DIANA bersama Datuk Bandar Liverpool, Tony Concepcion.
إرسال تعليق