BEKAS ketua jurulatih Kelantan, Azraai Khor Abdullah sah menjadi pengendali skuad Liga Perdana Sabah pada musim depan selepas dia bersetuju dengan tawaran Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Ketika dihubungi, Azraai yang pernah membawa pasukan Kedah muncul juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2008 berkata keputusan itu dibuat selepas dua kali pertemuan dengan pihak SAFA termasuk Presidennya, Datuk Seri Musa Aman.“Saya ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan pasukan terutama kepada Ketua Menteri yang juga Presiden SAFA…selepas dua kali pertemuan, akhirnya ia berlaku.
“Bagi saya, ia bukan sesuatu cabaran yang mudah di tempat baharu itu nanti kerana saya perlu ‘membina’ semula pasukan Sabah untuk menjadi lebih kuat dan mampu memberi saingan untuk sasaran ke Liga Super,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Azraai berkata, dia akan berusaha keras sebaik memulakan tugas rasmi pada 1 Oktober depan dan akan memilih pemain yang terbaik buat pasukan Sabah.
“Apa yang saya harapkan ialah kerjasama daripada para pemain, pengurusan dan juga peminat yang saya yakin akan terus menyokong kita bagi menghadapi musim 2016,” katanya.
Jurulatih berusia 62 tahun itu, berkata dia menerima tawaran kontrak selama satu tahun daripada SAFA melalui faks dan telah menandatanganinya.
Tambah beliau, antara perjanjian dalam kontrak berkenaan termasuklah mempunyai kuasa penuh dalam pemilihan pemain serta membuat laporan terus kepada Presiden SAFA.
Desas desus penglibatan Azraai dengan Sabah mula hangat diperkatakan selepas dia berjumpa dengan Musa, baru-baru ini, malah beliau turut dilihat menghadiri sesi latihan skuad Badak di Stadium Likas, Sabtu lalu.
إرسال تعليق