Luahan Hati Lagenda bolasepak Sabah Matlan Marjan!

Matlan Marjan merupakan bekas penyerang dan ketua pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dan lagenda pasukan 'Sang Badak'. Kelincahan dan ketangkasan Matlan Marjan ketika berada di padang sememangnya sukar digambarkan melalui kata-kata.

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Mereka tidak sepatutnya dipersalahkan 100% sedangkan dalang dan bookie sebenar masih bebas.

Dua watak penting dalam bolasepak Malaysia era 90'an Matlan Marjan dan Azizol Abu Haniffah yang dikenakan penggantungan seumur hidup atas penglibatan mereka dalam skandal rasuah bolasepak Malaysia harus diberi peluang kedua utk menurunkan ilmu dan pengalaman bolasepak mereka kepada pasukan negeri dan negara.


Berikut merupakan luahan hati daripada pemain lagenda berasal Kg. Timbang Dayang, Kota Belud  Sabah & pasukan kebangsaan sekitar tahun 90'an:-

Cerita dari legend kita...

Pengalaman saya ketika menjaringkan 2 gol menentang england tak akan ada dengan orang apa yang saya rasa masa itu dan pengalaman saya ini tak akan dapat orang malaysia lain ceritakan pada para pemain sekarang.

Matlan Marjan

Lagenda Sabah



Pengalaman ini akan saya bawa mati dan tak akan dapat di kongsi oleh orang lain melainkan saya bercerita tentang perasaan saya pada masa melawan pasukan yang digeruni dunia sedangkan saya hanya pemain kampung yang baru timbul pada masa itu dalam kancah bolasepak Malaysia berbanding pemain seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin dan Azizul Abu Hanifah. Saya hanya dapat berkongsi dengan anak saya Masmilan Anil saja bila bercerita tentang bola mengimbau masa silam itu. Saya harap anak saya nnti akan dapat mewakili Malaysia juga 1 masa akan datang walaupun mungkin sukar untuk dia menjejaki langkah ke situ. Namun Saya yakin jika dia belajar dengan tekun dengan kemudahan sekarang pasti dia akan berjaya. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada peminat selama ini yang masih mengingati saya walaupun suda begitu lama masa berlalu dan bnyak cerita suka dan duka saya lalui dalam arena ini.
Walaupun apa pun ceritanya sekarang mengenai masa lalu, apa yg pasti kita tidak boleh mengubah sejarah. Saya dan kita semua harus menerima hakikat pahit dan manisnya. Terima kasih sabah dan saya tetap menyayangi negeri ini walaupun kadang-kadang saya sedih dengan apa sebilangan orang yang menghalang penglibatan saya dalam bolasepak negeri ini. Kenanglah jasa kita dan ingatlah bahawa setiap orang mempunyai kesalahan dan kita jangan menghukum untuk kepuasan diri kerana tuhan lagi adil dalam hal ini. 
Love you sabah negeriku di bawah bayu. Hidup matiku adalah di sini.

Belang Harimau mengkritik Jawatankuasa Integriti FAM yang Hamidin katakan amat berwibawa dalam menangani isu rasuah.

Efektif apa benda kalau hanya pemain asing di pantau sedangkan pemain tempatan tidak?

Mana wibawanya kalau hingga ke hari ini mastermind rasuah bolasepak Liga M masih lagi bebas?

Picture
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Matlan Marjan (kanan) ketika zaman kegemilangannya.

‪Kenali Lagenda‬

Matlan Marjan (lahir pada 18 Oktober, 1968) merupakan bekas penyerang dan ketua pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dari Sabah. Dia mula mendapat perhatian apabila menjaringkan dua gol ketika perlawanan persahabatan antara Malaysia dan England pada 1991.


Anak jati Kg. Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah, Matlan merupakan salah seorang pemain bola sepak yang disegani dalam tahun 90-an.

Beliau bukan sahaja disegani di negeri Sabah, malah beliau merupakan salah seorang pemain Malaysia yang cukup berpengalaman dan memiliki kemahiran yang cukup tinggi.

Picture
MATLAN Marjan.

Ketika menyarung jersi kebangsaan dalam perlawanan menentang Flamengo XI, Matlan mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Sabah dipilih untuk mengetuai pasukan negara.

Dalam satu perlawanan persahabatan menentang England di Stadium Merdeka pada 12 Jun 1991, pasukan Malaysia tewas 4-2 kepada pasukan gergasi dunia itu.

Namun, pasukan negara tidak pulang dengan tangan kosong tatkala Matlan menjaringkan dua gol untuk pasukan negara.

Dia juga menyamai rekod 35 tahun Toni Fritsch apabila berjaya menembusi gawang England sebanyak dua kali selaku pemain yang membuat penampilan sulung diperingkat antarabangsa.


Skandal Rasuah - Tahun 1994 menyaksikan zaman suram bola sepak tempatan dan pasukan kebangsaan, apabila deretan bintang-bintang handal negara, didapati terbabit dengan kancah rasuah ketika itu.

Azizul yang didakwa terlibat, telah dikenakan hukuman buang daerah bersama pemain-pemain yang lain seperti Matlan Marjan, Karim Pin, P. Ravindran, Mohd Nazreen Chong dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun, imej dan reputasi beliau dihancurkan oleh kesilapan beliau sendiri, apabila beliau bersama 4 orang rakan sepasukannya (pasukan Sabah) ditahan polis pada Jun 1995 atas tuduhan rasuah.

Pada waktu tersebut beliau baru berusia 26 tahun. Seterusnya beliau telah digantung seumur hidup dari mewakili pasukan negeri apatah lagi negara dan dibuang daerah ke Semporna, Sabah.

Sesungguhnya ini merupakan satu sejarah hitam dalam sejarah bola sepak negara dan patut dijadikan iktibar oleh semua pemain dan peminat bolasepak sejati.


Picture
Gambar Terkini Matlan Marjan...badan sudah berisi, pergerakan tdk setangkas dahulu namun lorongan bola beliau amat menarik...

Kini, Matlan masih lagi berkecimpung dalam dunia bola sepak.

Kejayaan demi kejayaan yang tercipta membuatkan Matlan Marjan masih lagi disegani sehingga ke hari ini.


Nama beliau masih lagi menjadi bualan ramai. Biarpun beliau terlibat dengan skandal rasuah bola sepak suatu ketika dahulu, namun kegigihan dan keikhlasan beliau untuk terus menyumbangkan pengalaman serta tenaga dalam dunia bola sepak masih lagi terserlah, terutama di kalangan belia.

Beliau harus menjadi contoh terpenting dalam bola sepak negara seperti juga Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, dan Zainal Abidin Hassan.

Picture
BEKAS pemain Sabah dan legenda bola sepak negara, Matlan Marjan.

Matlan imbau jaring 2 gol lawan England

MATLAN Marjan, penyerang handalan Sabah era 1990-an mengakui tidak fokus sepenuhnya dalam aksi persahabatan menentang England 24 tahun lalu kerana asyik teringat kampung halaman, di sebalik ledakan dua jaringan yang membolosi gawang skuad gergasi Eropah itu.

Kali pertama menyarung jersi kebangsaan dan diturunkan ketika aksi persahabatan antarabangsa pada 21 Jun 1991 itu, ia membawa tuah kepada Matlan apabila penampilannya terus menjadi perhatian pengurusan skuad negara.

Matlan yang ketika itu berusia 23 tahun, mengakui tidak terfikir mampu menjaringkan dua gol ke gawang England yang dikawal Chris Woods, lebih-lebih lagi dia terlalu mentah berbanding pemain senior lain, termasuk bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh.

"Saya juga tidak menyangka diletakkan dalam kesebelasan utama kerana baru saja menyertai pasukan kebangsaan. Pergerakan di padang juga tidak teratur kerana masih takut-takut dengan pemain senior, lebih-lebih lagi hanya saya seorang dari Sabah.

"Ketika perlawanan, hati tidak keruan dan dalam kepala hanya memikirkan mahu balik kampung kerana teringat anak sulung yang baru dilahirkan. Entah macam mana saya boleh menyumbat gol.

"Walaupun mungkin kejayaan itu berlaku secara kebetulan, saya bangga dapat menyumbang gol kepada Malaysia. Meskipun tewas 2-4 dalam aksi itu, ia pengalaman paling manis dalam karier bola sepak saya," katanya

Jaringannya dikatakan menyamai rekod 35 tahun bekas pemain Austria, Toni Fritsch, apabila berjaya menembusi gawang England sebanyak dua kali selaku pemain yang membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa.


Dalam aksi di Stadium Merdeka itu, England yang hanya setahun sebelum itu mara ke separuh akhir Piala Dunia serta dibarisi pemain hebat seperti Stuart Pearce, Mark Wright, David Batty, David Platt dan Gary Lineker, menewaskan Malaysia 4-2, semuanya menerusi ledakan Lineker.

Antara pemain yang turut membarisi skuad kebangsaan dalam perlawanan itu ialah Azizol Abu Haniffah, Chow Siew Yai, Serbegeth Singh, Ahmad Yusof dan Zainal Abidin Hassan.

Matlan, 48, yang dipanggil `Boy' berikutan saiz badannya yang kecil ketika itu mengakui, tidak terfikir langsung untuk menjaringkan gol kerana matlamatnya dalam aksi itu adalah untuk menunjukkan bakat sebagai pemain yang berbisa.

Bermula dari situ, aksi Matlan sentiasa mendapat perhatian sama ada ketika bersama skuad kebangsaan atau negeri dan banyak menyumbang gol, termasuk membantu Sabah menjuarai Piala FA pada tahun 1995.

Walaupun tidak lagi bermain dalam skuad kebangsaan atau negeri, pengalaman itu boleh diceritakan semula Matlan kepada pemain muda sebagai dorongan untuk mereka mencipta kejayaan yang boleh dibanggakan dalam bola sepak.

Mengimbau detik mula minatnya dalam bola sepak, anak jati Kota Belud itu berkata, ia mula bercambah ketika di bangku sekolah rendah menerusi galakan bapanya.

"Setiap kali balik sekolah, bapa tanya sama ada saya ada bermain bola di sekolah pada hari itu atau tidak. Kalau minta beli jersi atau but, bapa tidak berkira kerana dia memang mahu melihat anaknya menjadi pemain.

"Alhamdulillah, saya dan adik, Zainizam, berjaya menunaikan hasratnya itu. Sekarang, saya pula menggalakkan anak saya menjadi pemain bola sepak seperti saya," katanya.

Picture
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Matlan Marjan, bersama isterinya, Norailin Abdullah (kiri), anaknya, Maieza Ambel (kanan), cucunya, Mohd Danish Aryan Faiz, serta rakan Matlan, Rusdan Hussein.

Matlan berkahwin dengan guru, Catherine Benjamin @ Norailin Abdullah, 45, dan mereka dikurniakan tiga anak, masing-masing dua perempuan dan seorang lelaki berusia di antara 14 tahun dan 24 tahun. Lebih manis, keluarga itu juga kini bertambah ceria dengan kehadiran seorang cucu, Mohd Danish Aryan Faiz, yang berusia satu tahun.

Terpalit kes rasuah, `bunuh' karier

Karier Matlan bagaimanapun tidak berpanjangan apabila menjalani hukuman penggantungan seumur hidup dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana terbabit dalam rasuah pada tahun 1995.

Peristiwa itu tidak pernah melunturkan minat Matlan untuk terus berkecimpung dalam sukan bola sepak.

Selepas 20 tahun menjalani hukuman itu, beliau masih meneruskan karier dalam bola sepak sama ada sebagai pemain atau jurulatih, selain sering menyertai kejohanan dan perlawanan persahabatan, termasuk dengan bekas rakan sepasukan dalam skuad negara atau Sabah.

Cuma skopnya lebih kecil, hanya di peringkat kampung, kelab, daerah atau jabatan berikutan syarat penggantungan yang melarang pembabitannya dalam perlawanan peringkat negeri dan kebangsaan, khususnya membabitkan FAM atau Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Meskipun terkilan dan menyesal kerana kariernya tidak mampu dikembangkan lebih jauh disebabkan syarat berkenaan, anak jati Kota Belud itu reda dan menerima hukuman sebagai takdir, selain mahu ia dijadikan teladan oleh pemain sekarang.

"Saya percaya, kalau bukan disebabkan hukuman itu, saya mampu membawa Sabah lebih jauh dan melakar nama sebagai pasukan disegani. Namun, ia sudah terjadi, walaupun saya melihatnya tidak adil, ia tak mampu diubah.

"Meskipun begitu, saya tidak pernah berhenti bermain bola sepak. Sekarang, ada saja kejohanan kecil mahupun perlawanan persahabatan yang saya sertai. Ramai juga minta saya jadi jurulatih, saya cuba penuhi mana yang tidak bertentangan dengan syarat hukuman," katanya.


Pada Jun 1995, Matlan bersama lima rakan skuad Sabah ketika itu, Matussin Bowie, Ravi Chandran, Gerard Mojiliu, Junaidi Tuah dan Charles Tindi, ditahan polis kerana didakwa terbabit dalam rasuah dan dihukum gantung permainan seumur hidup, selain dibuang daerah dengan Matlan menjalani hukuman di Semporna selama dua tahun.

Selepas tamat hukuman buang daerah pada tahun 1997, Matlan kembali ke Kota Belud dan memulakan hidup baharu sebagai usahawan dengan menjadi kontraktor kecil-kecilan, selain memenuhi jemputan bermain atau menjadi jurulatih pasukan kampung dan daerah.

Kini, meskipun tidak dihalang meneruskan karier sebagai pemain atau jurulatih, Matlan kecewa kerana mendakwa pergerakannya sering dipandang serong oleh pihak SAFA, seolah-olah dia melakukan kesalahan apabila menyertai perlawanan atau menjadi jurulatih pasukan tertentu.


Matlan mendakwa, SAFA seolah-olah mahu dia terus bersara berikutan tindakan persatuan itu memberi amaran kepada pengurusan pasukan yang disertainya agar penampilannya tidak ditonjolkan dalam permainan atau kejohanan.

"Bayangkan saya jadi jurulatih kelab dan jabatan tidak dibenarkan duduk di bangku pemain simpanan ketika perlawanan. Saya duduk di kerusi penonton dan guna telefon bimbit untuk menghubungi pengurus pasukan jika mahu beri nasihat atau pertukaran pemain.

"Yang anehnya, pengurusan SAFA tidak hubungi saya untuk maklumkan larangan itu dan hanya beri amaran kepada pengurus pasukan agar hati-hati apabila mengambil saya sebagai pemain atau jurulatih," katanya.

Lebih membingungkan, katanya, ada pegawai SAFA memaklumkan penggantungannya ditamatkan kira-kira 10 tahun lalu dan dia bebas menyertai perlawanan atau menjadi jurulatih mana-mana pasukan selain yang dianjurkan SAFA atau FAM, manakala pegawai lain menyatakan sebaliknya.

Dia mendakwa FAM atau SAFA tidak pernah mengeluarkan surat mengandungi butiran hukuman penggantungan seumur hidup dan syarat yang perlu dipatuhi, sebaliknya hanya memaklumkan menerusi laporan media.


Bagaimanapun, katanya, situasi itu hanya berlaku apabila menyertai kejohanan di Sabah tetapi tidak terjadi jika di negeri lain.

Picture
KERATAN akhbar mengenai Matlan Marjan yang disiarkan pada Ogos 2012.

"Saya selalu dijemput menyertai perlawanan persahabatan, termasuk dengan bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh di Semenanjung, tiada pula tindakan atau larangan dikenakan. Dollah pun tidak digantung kerana bermain dengan saya.

"Kadang kala saya terfikir menyesal tidak terima menerima tawaran pasukan lain ketika masih dalam liga dulu. Ketika itu, saya hanya mahu bermain untuk Sabah kerana sayang negeri kelahiran tetapi sekarang layanan SAFA seolah-olah saya ini orang jahat," katanya.


Bakat Matlan bukan saja diwarisi adiknya, Zainizam yang turut menyarung jersi Sabah sehingga tahun 2013, malah anak keduanya, Masmilan Anil, 19, kini disenaraikan sebagai pemain negeri kategori bawah 19 tahun.

BIODATA: Matlan Marjan

  • Lahir pada 18 Oktober 1968.


  • Berasal dari Kampung Timbang Dayang, Kota Belud.


  • Memulakan karier dalam Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada tahun 1987.


  • Menyarung jersi Sabah pada tahun 1988 hingga 1995.


  • Menyarung jersi negara pada tahun 1991 hingga 1995.


  • Mula dikenali selepas menjaringkan dua gol ketika aksi persahabatan menentang England di Stadium Merdeka pada tahun 1991.


Matlan sedih lihat Stadium Likas semakin kosong

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Matlan Marjan berharap Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dapat memberinya peluang untuk melatih skuad Badak, seterusnya membantu meningkatkan kedudukan dalam Liga Perdana.

"Berilah saya peluang selama dua tahun, saya percaya dapat ubah kedudukan Sabah. Kalau saya gagal, buang saya," katanya yang kini aktif menjayakan Kejohanan Bola Sepak Bawah 21 Tahun anjuran Persatuan Bekas Pemain Sabah dan Takad Nabalu.

Katanya, beliau sedih melihat pencapaian semasa skuad Badak yang merosot dan gagal menonjol dalam carta Liga Perdana, selain terus kempunan bersaing dalam Liga Super sejak lima tahun lalu.

"Banyak kelemahan yang saya lihat dalam skuad Sabah sekarang tapi saya tidak tahu di mana puncanya. Saya sedih melihat Stadium Likas semakin kosong.

"Saya tahu peminat bola sepak Sabah mahu melihat semula suasana Stadium Likas yang sentiasa penuh setiap kali skuad Badak bermain di sini seperti berlaku pada 1990-an.

"Kalau saya diberi peluang memimpin skuad ini, saya pasti ada perubahan tetapi saya sedar untuk masuk semula dalam pasukan bola sepak negeri bukan mudah," katanya.

Picture
MATLAN Marjan menunjukkan jersi yang pernah dipakainya ketika menentang England, 26 tahun lalu di Stadium Merdeka.

Matlan mengakui beliau pernah meluahkan tekad itu kepada SAFA, namun kedudukannya yang belum memiliki lesen jurulatih menghalangnya untuk berbakti semula dalam skuad yang pernah diketuainya pada awal hingga pertengahan 1990-an.

Katanya, beliau baru memohon untuk mendapatkan lesen jurulatih kelas C, namun untuk sampai ke peringkat jurulatih negeri, beliau perlu memiliki lesen B dan A yang bermakna memakan masa sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

"SAFA, khususnya Setiausaha Agung, Alijus Sipil memang menggalakkan saya untuk mengambil kursus jurulatih tetapi prosesnya perlu bermula dari awal," katanya.

Matlan tetap komited dalam dunia bola sepak walaupun aktivitinya sebelum ini terbatas akibat digantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas disabitkan kesalahan rasuah bola sepak pada 1995.

Meskipun hanya bermain atau membimbing pemain di peringkat kampung, persatuan atau jabatan, Matlan berkata sentuhannya masih mampu membawa banyak manfaat ke arah pembangunan bola sepak.

"Bukan saya mahu angkat bakul (bangga diri) tetapi saya boleh katakan setiap pasukan persatuan atau jabatan yang saya bimbing sebelum ini menjadi juara dalam kejohanan bola sepak yang mereka sertai," katanya.

Matlan turut menyuarakan cadangannya agar SAFA mengambil pendekatan mencari pemain baharu yang berpotensi dengan menumpukan perhatian kepada perlawanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) yang menjadi tempat pemain muda dari seluruh Sabah menunjukkan bakat.

Katanya, MSSS adalah tempat yang sesuai untuk mengintai pemain pelapis yang boleh diserapkan dalam pasukan bimbingan SAFA, termasuk diketengahkan sebagai pemain skuad Badak.


Matlan pernah membuatkan pemain England bergaduh sesama sendiri selepas gawang mereka bolos ketika perlawanan persahabatan dengan Malaysia di Stadium Merdeka pada 12 Jun 1991.

Dua gol jaringan pemain yang dipanggil 'Boy' dalam kalangan pemain senior Malaysia, cukup mengejutkan England yang ketika itu bergelar gergasi bola sepak Eropah dengan barisan pertahanan yang sukar dibolosi lawan.

Walaupun Malaysia kalah 4-2, jaringan Matlan sudah cukup untuk mengharumkan nama negara dalam pentas bola sepak antarabangsa, sekali gus mengangkat namanya sebagai anak Malaysia pertama dari Sabah yang berjaya memecahkan rekod kekebalan England.

Lebih membanggakan, kejayaan yang dilakar anak jati Kampung Timbang Dayang, Kota Belud 26 tahun lalu itu muncul ketika penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa dan ia tidak pernah diulangi atau diatasi oleh mana-mana pemain bola sepak negara.

Sumbangan besar Matlan itu tetap terpahat dalam sejarah bola sepak negara seiring dengan pemain lagenda Sabah seperti Datuk Hassan Sani, Datuk James Wong dan Peter Rajah yang pernah menempah tiket ke sukan Olimpik Moscow pada 1981.

Mengimbau kembali detik bersejarah itu, Matlan masih sukar menggambarkan bagaimana beliau boleh melakar dua jaringan semangat itu selepas England mendahului dengan 3-0.

"Ia hanya kebetulan tetapi apa yang saya ingat ialah dapat menjatuhkan penjaga gol England, Chris Woods dan menyebabkan mereka bergaduh sesama sendiri, mungkin menyalahkan kelalaian pemain mereka hingga gawang bolos.


"Bagi saya ia adalah detik sangat bermakna kerana saya dapat membuktikan seorang anak kampung berbadan kecil mampu meledakkan gol ketika berdepan dengan lawan yang bukan calang-calang.

"Walaupun tewas tapi orang kata kita kalah dengan bermaruah kerana England gagal mempertahankan gawangnya tanpa bolos dan bagi saya ia adalah satu sejarah peribadi yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila," katanya.

Sebagai kenangan, Matlan yang ketika itu baru diserap ke pasukan kebangsaan pada usia 23 tahun, masih menyimpan jersi kuning bernombor tujuh di belakang dan bendera Malaysia kecil di depan yang dipakainya ketika perlawanan berkenaan.

Sejak kejayaan itu, Matlan terus mengukir nama dalam arena bola sepak negara khususnya menerusi Liga Malaysia ketika bermain untuk pasukan Sabah termasuk membantu skuad Badak itu menjuarai Piala FA selepas mengalahkan Pahang 3-1 pada 8 April 1995.

Ketika itu Matlan selaku ketua pasukan digandingkan bersama Datuk Ong Kim Swee, Gerard Mojiliu, Junaidy Tuah, G Raveychandran, Jainin Tinin dan Yap Wai Loon serta tiga pemain import iaitu Veselin Kovasevic, Milomir Seslija dan Scott Ollerenshaw serta Khairul Azman Mohamed selaku penjaga gol.

Picture
MATLAN Marjan kini bersedia memikul tanggungjawab meningkatkan bola sepak Sabah.

Bagaimanapun, dunia bola sepak tempatan dikejutkan dengan skandal rasuah pada 1995 di mana enam tonggak Sabah iaitu Junaidy, Gerard, Raveychandran, Charles Tindi, Matusin Bowie dan Matlan sendiri didapati bersalah mengatur keputusan perlawanan atau melakukan rasuah bola sepak.

Mereka dibuang daerah selama dua tahun dengan Matlan ke Semporna selain digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak yang membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Selepas 22 tahun, penggantungan mereka akhirnya ditamatkan apabila Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan pembebasan berkenaan ketika bertemu penyokong bola sepak di Kota Kinabalu pada April lalu.

Ini memberi ruang kepada Matlan untuk menabur bakti kepada pembangunan bola sepak negara khususnya di Sabah untuk melatih pemain pelapis.


Pencapaian bola sepak Matlan Marjan:

  • 1987-1988 - Memulakan karier sebagai pemain bola sepak menerusi skuad Piala Presiden Sabah
  • 1988-1995 - Menyarung jersi skuad Sabah
  • 1991-1995 - Diserap ke dalam pasukan kebangsaan sebagai penyerang
  • 12 Jun 1991 - Menyumbang dua gol untuk Malaysia ketika perlawanan persahabatan menentang England yang berkesudahan Malaysia tewas 4-2
  • 8 April 1995 -  Membantu skuad Badak dengan menjaringkan satu gol untuk menjuarai Piala FA mengalahkan Pahang 3-1
  • Jun 1995 - Ditahan bersama lima rakan sepasukan sebelum didapati bersalah kerana terbabit dalam skandal rasuah bola sepak dan dihukum buang daerah dua tahun serta digantung seumur hidup oleh FAM
  • 8 April 2017 - Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan penggantungan Matlan dan lima rakannya ditamatkan
  • Bakat Matlan diwarisi adiknya, Zainizam yang turut menyarung jersi Sabah dari 1999 hingga 2013 dan anak keduanya, Masmilan Anil, 21, yang tersenarai dalam skuad Piala Presiden Sabah pada tahun ini


Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



4 تعليقات

  1. setiap manusia melakukan kesilapan dan menerima hukuman.. mereka juga layak menebus kesilapan .. beri lah ruang dan peluang...

    ردحذف
    الردود
    1. Beri lah peluang tuk kali ini sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN.....

      حذف
  2. Terhukum sbg bilis, jerung2 pula berkeliaran bebas..

    ردحذف
  3. Fam berhenti main Politik!lihatlah prestasi bola sepak skrg di mna?buka mata luaskan minda kamu..

    ردحذف

إرسال تعليق

أحدث أقدم