LIKAS: Kementerian Kesihatan mengesahkan menerima laporan kes jangkitan virus Zika tempatan pertama di Malaysia semalam, membabitkan lelaki tempatan berusia 61 tahun menetap di Taman Public Jaya di Likas, di sini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit mengalami demam pada 27 Ogos lalu dan mendapatkan rawatan kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang pada 30 Ogos.Bagaimanapun, katanya, warga tua terbabit mengalami demam lebih teruk, sakit otot dan cirit-birit keesokannya, sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.
"Oleh kerana pesakit menghidap tekanan darah tinggi, masalah pembuluh darah jantung, penyakit kronik buah pinggang, masalah batu karang dan gout, keadaannya didapati serius ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di HQE 2.
"Walaupun keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam menunjukkan darah dan air kencing sampel pesakit didapati positif jangkitan Zika, keadaannya yang agak serius mungkin bukan disebabkan jangkitan Zika tetapi penyakit lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sedang menyiasat sejarah perjalanan pesakit dalam tempoh kebelakangan ini.
"Besar kemungkinan jangkitan Zika ini berpunca daripada punca tempatan kerana pesakit tidak pernah ke luar negara dalam tempoh terdekat kebelakangan ini dan mungkin digigit nyamuk Aedes yang dijangkiti Zika.
"Berdasarkan maklumat terkini, kementerian memulakan aktiviti kawalan vektor di kawasan perumahan pesakit dan tempat lain yang dilawati pesakit. "Ini termasuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes, jentik-jentik dan pengkabutan.
"Kenalan rapat pesakit akan diperiksa sama ada mereka mengalami demam atau gejala Zika lain," katanya. Maklumat terkini Kementerian Kesihatan Singapura menunjukkan 11 rakyat Malaysia disahkan dijangkiti virus Zika dengan 10 daripadanya tinggal dan bekerja di Singapura, manakala seorang lagi bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor.
إرسال تعليق