Legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan berkata skuad Tambadau perlu tampil dengan strategi berbeza untuk menghadapi cabaran lebih besar apabila bersaing dalam Liga Super musim depan.
Justeru, katanya, jurulatih Sabah, Jelius Ating perlu bijak dalam menghasilkan taktikal dan perancangan yang lebih kreatif dan berbeza berbanding sepanjang beraksi di Liga Perdana.“Strategi tidak boleh sama, perlu lebih kreatif dan lebih bijak dalam menghasilkan skuad terbaik untuk beraksi di pentas Liga Super.
“Daripada segi latihan pula, usaha perlu digandakan lebih banyak daripada apa yang dilakukan ketika di Liga Perdana dan persiapan perlulah bermula daripada sekarang.
“Nak layak ke Liga Super bukan senang, tetapi untuk mengekalkan aksi terbaik juga sukar jika tiada perancangan rapi,” kata Matlan.
Sabah dinaikkan ke Liga Super musim depan selepas dinobatkan sebagai juara Liga Perdana musim ini. Kejayaan itu sekali gus juga menamatkan penantian Sabah selama 23 tahun untuk menjulang trofi kejuaraan.
Mengulas lanjut, Matlan turut mengakui kejayaan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menunaikan segala janji kepada pemain menjadi antara kunci utama mereka berjaya merangkul kejuaraan liga musim ini.
“Selama saya mengikuti perkembangan pasukan Sabah walaupun sudah tidak bermain, saya lihat sebelum ini masih ada masalah gaji dan kebajikan lain yang menghimpit pemain.
“Namun, kini kita dapat lihat pemain Sabah sudah bebas daripada masalah itu. Ini semua atas usaha keras daripada tahap pengurusan sendiri yang tidak pernah lepas tangan jaga kebajikan pemain dengan baik.
“Selepas Datuk Peter Anthony ambil alih selaku pemangku presiden, banyak perubahan positif yang berlaku selain dia menunaikan apa yang dijanjikan. Ini membuatkan pemain lebih bersemangat untuk berbakti kepada pasukan sehingga berjaya," katanya.
إرسال تعليق