Polis buru pesalah seks kanak-kanak, suspek pembunuh hilang melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang

Mereka melarikan diri ketika mendapat rawatan di Hospital Mesra Bukit Padang, Jumaat lalu.
Dua pesakit mental ada rekod jenayah hilang dari Hospital Mesra Bukit Padang

Polis sedang menjejaki dua pesakit lelaki yang sedang mendapat rawatan di Hospital Mesra Bukit Padang, dipercayai melarikan diri pada Jumaat lalu.

K etua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata, kedua-dua pesakit itu berjaya meloloskan diri ketika dikeluarkan dari bilik masing-masing, kira-kira jam 3 petang untuk minum petang.

Habibi berkata, kehilangan mereka disedari oleh salah seorang kakitangan hospital iaitu pada jam 3.45 petang, semasa pemeriksaan rutin ke atas wad.


“Suspek pertama merupakan pesalah di bawah Seksyen 14 (A) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dari Penjara Kota Kinabalu dan telah dimasukan ke wad forensik pada 10 Mei tahun lalu untuk rawatan ‘mild intellectual disability’, atas perintah Mahkamah Kota Kinabalu.


“Manakala suspek kedua pula merupakan pesalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dari daerah Tawau, dan telah dirujuk ke hospital itu pada 14 Jan tahun lalu atas masalah mental iaitu ‘Schizophrenia’,” katanya dalam kenyataan, di Kota Kinabalu hari ini.


Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk segera menyalurkan kepada Inspektor Palani Nathan Pathmanathan di talian 016-412 2835 atau ke Hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088-529220 atau di Facebook IPD Kota Kinabalu.

- Bernama

Post a Comment

أحدث أقدم