Seorang lelaki sedang menerima rawatan ekoran menghidap penyakit kanser serta disahkan positif Covid-19 dilaporkan terjun dari tingkat enam Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas malam tadi.
D alam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa berusia 64 tahun itu menerima rawatan di hospital berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, mangsa warga emas itu dikatakan terselamat selepas tersangkut pada bumbung tingkat tiga hospital terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditempatkan di hospital berkenaan selepas didapati menghidap penyakit kanser dan positif Covid-19.
“Mangsa dipercayai tertekan sebelum mengambil keputusan terjun dari tingkat enam hospital namun siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian masih dijalankan.
“Mangsa yang parah akibat kejadian itu sudah dibawa turun oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kini dirawat di hospital sama,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.22 malam.
Seramai 15 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Lintas dan Balai Bomba Kota Kinabalu diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi menyelamat mangsa.
“Apabila bomba tiba di tempat kejadian, mangsa yang sudah terjun dari tingkat enam tersangkut di bumbung tingkat tiga hospital.
“Pasukan bomba seterusnya menjalankan operasi menyelamatkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE
إرسال تعليق