KOTA KINABALU: Pengumuman Ketua Menteri Hajiji Noor berhubung kelonggaran beberapa aktiviti sosial dan ekonomi di Sabah sudah seminggu berlalu, namun sehingga kini belum ada sebarang SOP dikeluarkan kerajaan.
Dalam kenyataan terbaharu dikeluarkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun sebentar tadi juga langsung tidak menyentuh mengenai SOP baharu susulan pengumuman Hajiji itu.
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan SOP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membabitkan semua negeri berkuatkuasa hari ini, kecuali Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.
Dalam penerangan SOP MKN itu, turut dinyatakan “Bagi Sabah, sila rujuk Pelan Pemulihan Negara – SOP Fasa 1 Sabah” dan “Bagi Sarawak, sila rujuk Pelan Pemulihan Negara – SOP Fasa 1 Sarawak”.
Kenyataan itu seperti membayangkan Sabah dan Sarawak bakal mengeluarkan SOP sendiri walaupun masih berada dalam Fasa 1 PPN.
Sehingga kini, belum ada sebarang SOP dikeluarkan kerajaan negeri sedangkan beberapa daerah sudah melaksanakan kelonggaran yang diumumkan Hajiji pada 28 Jun lalu.
Antara kelonggaran diumumkan termasuk makan di restoran atau kedai makan, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal.
Selain itu, aktiviti pembuatan serta perkilangan turut diperluaskan kepada getah, simen dan cat serta kilang berasaskan kayu dan perabot.
Sebelum ini juga, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Sabah tidak patut melonggarkan SOP yang ditetapkan oleh MKN.
Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu standard SOP sahaja namun jika ada negeri yang ingin menambah baik dengan memperketatkan suatu perkara, ia boleh dibenarkan.
Bagaimanapun, Masidi selepas itu memberitahu kerajaan negeri masih menunggu kelulusan kerajaan pusat berhubung kebenaran aktiviti sosial dan ekonomi seperti diumumkan Hajiji.
Katanya, kerajaan negeri telah pun mengemukakan SOP baharu Sabah bagi Fasa 1 PPN kepada kerajaan pusat dan kini mereka masih menunggu ia diwartakan.
Beliau turut berkata, setiausaha kerajaan negeri akan mengeluarkan kenyataan media berasingan mengenai SOP Sabah secara terperinci.
Namun, kenyataan seperti yang dikatakan Masidi itu juga sehingga kini belum nampak “kelibatnya”.
إرسال تعليق