Wanita berkerusi roda hampa kekeliruan di pusat vaksinasi

Kickbola.netImelda Isabelle Michael akan menerima suntikan vaksin pada 25 Julai selepas diminta pulang hari ini.




KOTA KINABALU: Penantian berbulan-bulan seorang wanita berkerusi roda yang menghidap palsi serebrum untuk mendapat suntikan vaksin menemui kehampaan apabila rupa-rupanya dia mempunyai satu lagi tarikh janji temu ditetapkan minggu depan.

Kejadian menimpa Imelda Isabelle Michael itu antara contoh kekeliruan yang dihadapi ramai orang di negara ini, namun wanita itu dan adik perempuan yang menemaninya sekadar menerima dengan tenang.

Imelda, 46, gagal mendapatkan suntikan di pusat vaksinasi di bangunan Pejabat Pentadbiran Persekutuan di Likas pada 19 Julai lalu selepas didapati mempunyai dua tarikh janji temu.

Wanita itu telah mendaftar untuk vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera beberapa bulan lalu, namun tidak menerima tarikh janji temu.

Susulan itu beliau meminta pertolongan kumpulan tempatan yang membantu golongan kurang upaya dengan harapan dapat mempercepatkan tarikh vaksinasinya.


Wanita itu kemudian mengisi borang yang diserahkan bagi pihaknya oleh kumpulan itu seterusnya berjaya mendapat tarikh janji temu.

Imelda dan adiknya Lindsay yang menemaninya untuk janji temu Isnin lalu itu bagaimanapun tidak marah dengan kejadian berkenaan.

“Kami tidak mahu membuat kecoh kerana ramai orang menunggu giliran di situ,” kata Lindsay.

Imelda Isabelle Michael lega adiknya Lindsay menemani dan memujuknya.
“Lagipun kami menghormati pekerja barisan hadapan dan tidak mahu menyukarkan keadaan yang sudah sedia mencabar untuk mereka.”

Imelda percaya janji temu bertarikh 19 Julai itu, yang dimaklumkan menerusi pesanan teks oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Kota Kinabalu adalah susulan bantuan kumpulan yang menolongnya itu.

Bagaimanapun, beliau menerima satu lagi makluman di MySejahtera untuk menerima suntikan di Pusat Kebudayaan Penampang pada 25 Julai ini.

Beliau menghubungi nombor “hotline” dalam pesanan itu namun tidak berjawab menyebabkannya memutuskan pergi untuk janji temu pada 19 Julai.

“Mereka memaklumkan tidak dapat meneruskan dengan vaksinasi saya kerana sudah ada janji temu untuk 25 Julai,” katanya.

“Menurut mereka jika tetap diteruskan, akan wujud masalah dengan sijil vaksinasi digital jadi saya perlu disuntik pada tarikh yang ditetapkan minggu depan.

“Saya tidak faham kenapa tidak boleh disuntik ketika itu memandangkan saya sudah berada di sana.

“Seorang jururawat memujuk saya menunggu sedikit masa saja lagi, tetapi saya memberitahunya saya sudah menunggu berbulan-bulan.”

Imelda berkata, walaupun terkilan, beliau bersyukur Lindsay ada untuk memujuknya.

Lindsay mengongsikan pengalaman mereka itu di media sosial, dan dua beradik itu rata-rata dipuji warganet kerana begitu bersabar dan tidak mengikut emosi.

Katanya, Imelda takut untuk meninggalkan rumahnya selama beberapa bulan lalu disebabkan kes jangkitan begitu tinggi, dan akhirnya bersetuju keluar untuk divaksin namun hampa akhirnya.

“Bagaimana jika seseorang dari kawasan pedalaman yang datang ke pusat itu dan terpaksa pulang? Pasti menyusahkan,” katanya.

Menurutnya, pusat vaksin juga sepatutnya lebih fleksibel terutama apabila berdepan dengan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti kakaknya.

Post a Comment

أحدث أقدم