108 pesakit COVID-19 di Pulau Sebatik berjaya dipindahkan ke pusat kuarantin

PINDAH: Penduduk Pulau Sebatik yang dipindahkan ke pusat kuarantin menggunakan aset Maritim Malaysia.



TAWAU: Seramai 108 orang penduduk Pulau Sebatik yang didapati positif COVID-19 berjaya dipindahkan ke pusat kuarantin di daerah ini sejak berlaku peningkatan kes di kawasan tersebut.

Pemindahan itu dilakukan dengan bantuan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau sejak 31 Julai lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata bantuan itu adalah usaha pihaknya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan pesakit positif COVID-19.

“Proses pemindahan pesakit itu melibatkan beberapa lokaliti di Pulau Sebatik iaitu Kampung (Kg) Bergosong, Kg. Sungai Tongkang, Kg Mentadak, Kg Lahat-Lahat dan Kg. Wallace Bay.

“Pergerakan pesakit diselaraskan oleh petugas KKM dengan beberapa siri perjalanan mengikut jumlah kes positif di kawasan Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.


108 pesakit COVID-19 di Pulau Sebatik berjaya dipindahkan ke pusat kuarantin
Katanya, setakat ini Maritim Malaysia sudah menjalankan enam siri pemindahan dengan jumlah seramai 108 orang penduduk yang positif COVID-19 di Pulau tersebut.

“Bot-bot peronda dari Zon Maritim Tawau telah diatur gerak bagi melaksanakan penugasan ini dan setiap anggota dibekalkan dengan peralatan pakaian pelindung diri (PPE).

“Pasukan Maritim yang terlibat juga berhati-hati dalam melaksanakan tugas dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan risiko jangkitan semasa dalam tugasan,” katanya.

Siva berkata kesemua pesakit diturunkan di jeti Yatch Club Tawau sebelum dibawa menaiki ambulan oleh kakitangan KKM ke Pusat Kuarantin.

“Bantuan pengangkutan ini disediakan bagi melancarkan proses pengasingan pesakit positif COVID-19 yang akan menjalani kuarantin dan rawatan susulan di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan.

“Kerjasama semua agensi yang terlibat dalam menguruskan hal-hal berkaitan pandemik COVID-19 dilihat satu bentuk usaha bagi membantu pihak kerajaan dalam menangani krisis ini,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.