Tawau: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 155 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Patuh Bersepadu di dua lokasi berasingan, yang berakhir malam tadi. |
Dua lokasi serbuan membabitkan penempatan warga asing itu dijalankan di Jalan Tanah Merotai dan Jalan Kinabutan, di sini, yang bermula jam 12 tengah malam itu membabitkan 98 anggota dan pegawai.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, hasil serbuan, JIM pada awalnya menahan keseluruhan seramai 182 orang untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil tapisan yang dilakukan, seramai 155 individu ditahan membabitkan 49 lelaki dan 67 wanita dewasa serta 39 kanak-kanak.
“Semua yang ditahan berusia lingkungan setahun hingga 77 tahun yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.
“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal dalam premis yang diselia dan diurus mereka.,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin |
“Tumpuan Operasi ini juga turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini.
“Tindakan akan diambil selaras dengan peruntukkan undang-undang tanpa kompromi,” katanya.
Jonathan berkata, semua tahanan turut diarahkan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan di depot tahanan Imigresen.
“Ia seiring dengan Prosedur Operasi Standard(SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tegasnya.
إرسال تعليق