KOTA BELUD: Seorang pemandu lori dan kelindannya maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Kota Belud-Tuaran berhampiran Bukit Kelawat, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Lee Chee Fui, 51, dan Jonathan Lee Jun Liong, 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, seorang lagi kelindan lori berkenaan yang berusia 27 tahun pula mengalami kecederaan parah.
Katanya, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu dengan membawa barangan runcit.
“Bagaimanapun kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terus merempuh belakang sebuah pacuan empat roda.
“Lori yang dipandu mangsa dikatakan terlanggar tembok konkrit pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan,” katanya.
Sahimi berkata, kereta pacuan empat roda dan sebuah lagi kereta Proton Wira turut terbabas namun hanya membabitkan kecederaan ringan.
“Semua pemandu yang terbabit dalam kemalangan ini tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil bagi tujuan toksikologi.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Asiatimes
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق