9 lelaki ditahan bersama wang taruhan lumba haram di Tawau

Motosikal antara kenderaan yang disita kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di Tawau, Sabah semalam



TAWAU: Sembilan lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram ditahan dan dikompaun dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar Jalan Apas-Balung, semalam.

Kesemua individu yang berusia 18 hingga 30 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau antara pukul 4 pagi hingga 10.30 pagi.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, tujuh daripada sembilan individu yang ditahan itu kemudian dibebaskan setelah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, dua individu lagi ditahan bagi membantu siasatan kerana membawa kenderaan iaitu kereta dan motosikal dengan kelajuan yang tinggi dan berbahaya.

Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM10,437.50 yang disyaki sebagai wang pertaruhan bagi aktiviti lumba haram berkenaan.


PETER UMBUAS
Kesemua individu berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan tujuh kenderaan termasuk dua motosikal, tiga kereta dan dua pacuan empat roda turut disita.


Peter berkata, tujuh individu yang ditahan mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan telah dibebaskan selepas dikompaun.


Menurutnya, seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta yang membawa kenderaan dengan kelajuan yang tinggi dan berbahaya masing-masing ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Sekseyn 81 (1) APJ 1987.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.