BERAZAM terus pamerkan nyanyian berkualiti tinggi. |
Malaysia sememangnya tidak pernah ketandusan penyanyi berbakat besar serta bertaraf antarabangsa. Bahkan, pemuda kelahiran Ranau, Sabah ini antara yang sangat mengagumkan seluruh dunia, baru-baru ini.
Fanzi Ruji atau nama sebenarnya Mohd Rifanzie Ruji, 33, bukanlah nama baharu dalam industri. Bagaimanapun, kemenangannya dalam TikTok Heart Attack Challenge oleh komposer Amerika Syarikat, David Michael Frank terus meledakkan namanya.
Kemampuan vokal bernada tingginya selain nyanyian memukau benar-benar memberi tuah. Bukan setakat mendapat tontonan lebih tiga juta di seluruh dunia, sekali gus jumlah pengikut media sosialnya juga naik mendadak.
Menurut Fanzi, dia menyifatkan kejayaan itu sebagai pendorong semangatnya terus pamerkan kualiti muzikalnya. Meskipun penyertaan itu cuma suka-suka, ia cukup membuka pelbagai peluang keemasan buatnya.
"Saya akui memang sangat teruja apabila mendapat sokongan luar biasa selepas kejayaan itu. Pelbagai peluang serta liputan menyambar diri saya.
FANZI teruja bakatnya tersebar ke seluruh dunia. |
"Apapun, yang pasti saya kena terus kerja keras untuk pamerkan kualiti bakat pada tahap tertinggi. Saya yakin, usaha berterusan pasti akan berbaloi asalkan kita lakukannya sepenuh hati," katanya.
Bergelar guru bahasa inggeris di Kota Kinabalu, Sabah, Fanzi juga melihat kuasa media sosial sekarang sememangnya cukup berharga. Ia disebabkan capaiannya tiada had dan boleh diakses seluruh dunia.
Oleh demikian, dia tidak mahu mensia-siakan setiap masa yang ada terluang buatnya di musim pandemik Covid-19 ini. Baginya, sekarang masa cukup tepat untuk dia terus berkarya.
"Ada hikmahnya apabila terkurung dan masa sepenuhnya dihabiskan di rumah. Kerana tidak keluar bekerja, saya mahu manfaatkan ia sebaiknya dengan terus menghasilkan video-video nyanyian.
"Saya amat bersyukur dapat lakukan perkara yang sangat saya cintai dalam keadaan sekarang. Ia membuatkan hari-hari saya lebih terisi dan lengkap," katanya lagi.
Bukan setakat kemenangan itu, Fanzi sebenarnya pernah menarik perhatian ramai apabila penyanyi seberang, Judika turut memuji bakatnya. Lebih bermakna, Judika memang idola sepanjang masanya.
Namun begitu, dia mengakui setiap pencapaian itu ada keistimewaannya sendiri. Justeru, dia berharap akan ada lagi peluang keemasan berterusan sebegitu datang padanya.
"Menyentuh mengenai perhatian yang Judika berikan pada saya, itu dianggap satu penghormatan cukup istimewa. Mana tidak, saya mendapat pujian daripada insan yang menjadi inspirasi besar selama ini.
"Dapat pula berduet dengannya secara maya, tentu sekali ia mimpi jadi kenyataan. Tidak terkecuali, pencapaian itu sekali gus memperkenalkan lagi nama saya sehingga ke Indonesia," katanya.
Rancak dengan karier seni di Sabah, Fanzi turut dilamar label Nova Music pada tahun lalu. Kemudian, dia tampil dengan single pengenalan berjudul Hati Nan Rapuh.
Pada 15 Jun lalu, dia turut dinobatkan naib johan pertandingan nyanyian TVSTARZ anjuran TV Sarawak. Program membabitkan peserta Malaysia, Indonesia, dan Filipina itu diadili Ernie Zakri, Yudhi Seriestha, dan Amir Jahari.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
إرسال تعليق