Gadis Kudat raih Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2020

Wong Wee Tyng pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perniagaan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS)

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)





KOTA KINABALU: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menempa nama di peringkat kebangsaan dengan pengiktirafan Anugerah Malaysian Institute of Accountants (MIA) Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2020.

Wong Wee Tyng pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) UMS menerima anugerah berkenaan sempena 'MIA International Accountants Conference' (MIAC) 2021 yang dianjurkan secara atas talian baru-baru ini.

UMS dalam kenyataan media hari ini menjelaskan, anugerah berkenaan diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diakreditasi oleh badan profesional MIA, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.

Pihak UMS mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan itu dan FPEP khususnya bangga atas pengiktirafan yang diraih oleh pelajar tahun akhir itu.

Dalam perkembangan berkaitan, akreditasi oleh badan profesional seperti MIA penting untuk meningkatkan mutu dan kebolehpasaran graduan Program Perakaunan.

Kurikulum yang holistik juga melahirkan graduan yang mampu bersaing dengan pelajar daripada Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) lain di Malaysia.

Selain MIA, Program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di FPEP UMS turut menerima akreditasi dari badan profesional lain termasuk Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

Pusat Perakaunan UMS juga sentiasa menganjurkan program bersama badan profesional berkenaan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pakar industri berkaitan profesion perakaunan.

Pada 6 September depan, pusat itu akan menganjurkan Seminar Penyelidikan Perakaunan secara virtual melibatkan para pensyarah Program Perakaunan UMS dan peserta dari jabatan, agensi dan organisasi swasta.

Seminar tahunan itu sebagai platform kepada para penyelidik membentangkan penyelidikan masing-masing sekali gus menjadi medan perbincangan hasil dapatan penyelidikan semasa dan kajian pada masa akan datang.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم