KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan yakin negeri itu tidak akan menghadapi krisis politik seperti di Semenanjung kerana Umno Sabah akan berpegang kepada janjinya untuk memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak terjejas.
Kitingan, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, kebiasaannya kerajaan negeri akan terjejas setiap kali berlaku perubahan di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun, berdasarkan perbincangan dalam GRS dan perbualan peribadinya dengan Pengerusi Umno Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin, beliau percaya Umno negeri itu tidak akan melakukan tindakan sama seperti di peringkat persekutuan.
“Saya bersama beliau semalam dan kami mahu mengekalkan kerajaan negeri. Sabah tidak akan terjejas dengan apa yang berlaku di peringkat persekutuan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.
“Biasanya, apabila berlaku perubahan di peringkat persekutuan, ia akan menjejaskan negeri-negeri.
“Itu salah satu sebab mengapa kami memilih (Naib presiden Umno) Ismail Sabri Yaakob supaya kebanyakan perkara akan kekal seperti sekarang.”
Kerajaan GRS diterajui Ketua Bersatu Sabah, Hajiji Noor sebagai ketua menteri dan terdiri daripada Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS), selain Perikatan Nasional (PN).
Ismail Sabri dinamakan sebagai perdana menteri kesembilan, menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan itu Isnin lalu.
Mengenai cakap-cakap yang kerusi timbalan perdana menteri akan diisi calon dari Sabah atau Sarawak, Kitingan percaya seorang pemimpin dari Sarawak akan dinamakan untuk jawatan itu.
“Sarawak memberikan paling banyak sumbangan ke arah kestabilan dan kedudukan PM, jadi saya harap ini akan dipertimbangkan.
“Saya tidak kisah siapa orangnya (sama ada dari Sabah atau Sarawak), tetapi Sarawak bersedia mendapatkannya.”
Sementara itu, Kitingan berharap krisis politik akan berakhir sekarang susulan pengumuman Ismail Sabri sebagai perdana menteri.
“Mudah-mudahan dengan penyelesaian sementara terhadap krisis politik ini, kita dapat memfokuskan isu penting berkaitan pandemik, kebajikan rakyat dan ekonomi.
“Kami juga berharap tiada lagi krisis atau mereka yang mengejar jawatan PM akan menunggu sehingga Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum akan datang.
Kitingan turut menggesa Kabinet persekutuan baharu untuk mengutamakan isu penting kepada Sabah dan Sarawak seperti hubungan persekutuan-negeri dan mengembalikan hak negeri seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963. – FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق