Kemasukan Dari Indonesia Punca Penularan Kes Di Tawau

Pegawai Kesihatan Kawasan, Dr. G. Navindran berkata, kes di daerah ini kembali meningkat berikutan ada kemasukan individu dari seberang (Indonesia).



TAWAU: Kemasukan individu dari negara jiran antara penyumbang kepada penularan kes Covid-19 di daerah ini.

Pegawai Kesihatan Kawasan, Dr. G. Navindran berkata, kes di daerah ini kembali meningkat berikutan ada kemasukan individu dari seberang (Indonesia).

“Berdasarkan pertanyaan kita kepada pesakit positif, ada yang mengaku mereka datang dari Pulau Nunukan, Indonesia dan masuk ke Tawau.

“Ada satu kes, pesakit ini bekerja di ladang sawit. Sebelum masuk bekerja dia perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan dia dikesan positif Covid-19. Sepanjang perjalanan, sudah banyak persinggahannya termasuk singgah makan di kedai.

“Justeru, kita kena mengawal kemasukan individu dari seberang kerana mudah untuk mereka dari Indonesia masuk ke Sebatik, Tawau. Ada yang memaklumkan mereka membayar RM250 setiap seorang bagi menaiki bot untuk ke Tawau,” katanya kepada pemberita semasa program jerayawara Covid-19 di Felda Umas Kalabakan semalam.

Jelas beliau, terdapat juga individu yang masuk ke Tawau untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. Malah, tukang sembelih korban juga ada yang datang dari negara jiran, Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Navindran berkata, penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihatkan agar tidak melarikan diri dari kawasan PKPD kerana keadaan itu akan menyumbang kepada penularan jangkitan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut katanya, proses vaksinasi di Tawau ketika ini hampir 89,516 dos daripada keseluruhan penerima yang layak iaitu 371,000 orang.

“Sekiranya bekalan vaksin mencukupi dan kita boleh memberi sekitar 5,000 vaksin setiap hari maka, dalam tempoh dua bulan, seluruh penduduk Tawau akan selesai divaksin,” katanya. Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Harun Maddasa berkata, selaku penyelaras program outreach ini, mereka sudah memberikan 94,264 dos vaksin menerusi 220 program yang dilaksanakan di seluruh Sabah sehingga 3 Ogos.

Setakat ini, seramai 1.031 juta rakyat Sabah sudah menerima vaksin Covid-19 dan program ini menyumbang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan individu yang sudah menerima vaksin.

Secara keseluruhan sebanyak 37.4 peratus individu sudah divaksin di Sabah daripada keseluruhan 2.76 juta rakyat yang layak menerima vaksin.

Post a Comment

أحدث أقدم