Kerajaan dalam kedudukan selamat - Ongkili

Ongkili berkata PBS akan terus berdiri teguh di belakang Muhyiddin dan kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional.



KOTA KINABALU: Perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini membuktikan bahawa kerajaan berada dalam kedudukan yang selamat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Justeru Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa rakyat Sabah agar bertenang di tengah-tengah gerakan politik oleh pembangkang di peringkat Persekutuan.

"Perdana Menteri telah berkata usul undi percaya kepadanya untuk menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Sept, dan kami akan mengundi. Semua Kabinet (menteri) berada di belakang beliau dan kami yakin Perdana Menteri akan terus meraih majoriti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata pembangkang sengaja menimbulkan kekecohan semasa sidang Parlimen baru-baru ini untuk 'mengganggu' usaha kerajaan memerangi penularan COVID-19 yang bagi pembangkang adalah perkara kedua.

"Sudah jelas bahawa usaha memerangi COVID-19 adalah perkara kedua bagi pembangkang. Mereka hanya dahagakan kekayaan dan terus menimbulkan kekacauan... mereka bukan hanya mengganggu sidang Parlimen, tetapi juga menjejaskan usaha kerajaan untuk memerangi virus maut ini," katanya.


Ongkili berbual dengan penerima semasa Program Jangkauan Vaksinasi di Pusat Inokulasi di Marak Parak, Kota Marudu.
Ongkili berkata PBS akan terus berdiri teguh di belakang Muhyiddin dan kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional, dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu akan terus bekerja keras dan menyokong pemimpin, baik di peringkat Persekutuan dan negeri.

"PBS akan terus menyokong Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. Bagi kita, keutamaan adalah untuk memerangi COVID-19. Dan untuk kerajaan berfungsi dengan baik, ia memerlukan kestabilan untuk terus bekerja dan meningkatkan ekonomi negara, serta kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata pembangkang mesti berhenti bermain politik dan membenarkan Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan untuk rakyat pulih daripada cabaran COVID-19.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata pihaknya menyokong penuh kerajaan sekarang yang diterajui Muhyiddin, dan gangguan politik berterusan boleh melemahkan usaha kerajaan untuk mengawal penularan pandemik itu dan membantu pemulihan ekonomi.

"Apa yang menyedihkan saya ialah semasa sidang Parlimen, pihak pembangkang berkeras mahu bermain politik dan tidak menyumbang apa-apa untuk memerangi COVID-19.

"Apa yang kita perlukan sekarang ialah adalah komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Malaysia berada di jalan yang betul ke arah pemulihan ekonomi di samping sentiasa mengingati untuk menjaga kepentingan rakyat," kata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dalam kenyataan.

-- BERNAMA

Post a Comment

أحدث أقدم