Kit Saliva COVID-19 bukan pengesan jangkitan COVID-19 pada peringkat awal

Presiden Persatuan Farmasi Sabah Jemima Ho Wan Dien



KOTA KINABALU: Kit Saliva COVID-19 yang mula dipasarkan sejak 2 minggu lalu kini menjadi produk pilihan utama orang ramai.

Presiden Persatuan Farmasi Sabah Jemima Ho Wan Dien berkata, bagaimanapun kit Saliva itu bukanlah satu ujian standard untuk memastikan seseorang itu dijangkiti COVID-19.

"Ia hanya berfungsi sebagai ujian apabila seseorang itu mempunyai simptom COVID-19 dan telah terdedah dengan wabak berkenaan pada hari kelima dan seterusnya.

"Ujian COVID-19 Saliva tidak dapat mengesan kes COVID-19 pada peringkat awal. Pada ketika ini kaedah 'nasopharyngeal' swab masih adalah masih standard tertinggi untuk ujian kes COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka yang membeli Kit Saliva COVID-19 diwajibkan untuk merekod data peribadi dengan farmasi berkenaan dan melaporkan keputusan ujian dalam aplikasi Mysejahtera.


Katanya, sekiranya seseorang itu dikesan positif, dia perlu mendapatkan rujukan di klinik perubatan terdekat, atau Pusat Penilaian COVID-19 seperti di Kompleks Sukan Likas.
"Cara penggunaan kit saliva adalah penting, 30 minit sebelum menggunakan kit itu anda tidak boleh makan, minum, kumur air atau merokok. Ia kerana akan mempengaruhi keputusan ujian itu,"katanya.

Pada 3 Ogos lalu, satu kenyataan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menjelaskan COVID-19 Saliva Kit hanya boleh diperolehi menerusi farmasi atau fasiliti kesihatan.

Seseorang itu boleh didenda tidak lebih daripada RM200,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya melanggar peraturan.

Kit Saliva COVID-19 hanya boleh dijual berdasarkan pemantauan serta saluran yang tepat. Cara penggunaan kemudahan itu juga penting selain perlu pastikan ketulenan produk berkenaan.

Setakat ini hanya 11 jenis kit saliva yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di negara ini seperti yang disenaraikan dalam www.mda.gov.my sahaja.

Post a Comment

أحدث أقدم