Lelaki Tempatan Ditahan Bersama 20 Kotak Rokok Seludup

TAHAN: Suspek ditahan bersama rokok belum lulus kastam di Kalabakan.



TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki menyeludup 20 kotak rokok yang belum lulus kastam di Kalabakan, awal pagi hari ini.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ketika kejadian jam 1.15 pagi itu, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota keselamatan yang diketuai oleh ESSCom telah membuat serbuan terhadap sebuah kongsi kayu rumah pekerja no.3, Felda tengah 01, Kalabakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap rumah berkenaan menjumpai sebuah kotak berwarna coklat yang disembunyikan di bawah tangga menuju ke ruang dapur, rumah kongsi berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak terbabit menemui 20 kotak rokok jenis LA Menthol lights yang disyaki belum lulus kastam bernilai lebih RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rokok seludup berkenaan disyaki diseludup untuk dipasarkan di kawasan Felda kalabakan dan kawasan sekitarnya.


TAHAN: Suspek ditahan bersama rokok belum lulus kastam di Kalabakan.
“Suspek yang berumur 16 tahun bersama barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.

Katanya, pihaknya akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan PTI selain memantau pergerakan kegiatan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.

“Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZone bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan culik untuk tebusan dapat dibanteras dengan jayanya,” katanya.

Post a Comment

أحدث أقدم