Pegawai Timbalan Menteri MOTAC meninggal dunia akibat Covid-19

Jaimin yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Sabah telah hadir ke Kompleks Parlimen Malaysia sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 hingga 29 Julai lalu.



Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia (Motac) Datuk Jaimin Samitah meninggal dunia akibat Covid-19, petang semalam.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang ketika menerima rawatan di sebuah hospital, di sini, selepas disahkan dijangkiti virus itu, minggu lalu.

Timbalan Menteri Motac Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan, beliau mendapat perkhabaran duka itu daripada seorang daripada keluarga Jaimin pada 5 petang, semalam.

"Kali terakhir kami bersama semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen pada 29 Julai lalu dan kira-kira 4 atau 5 petang, saya bersama empat pengiring termasuk Jaimin melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum keluar Parlimen dan kami semua disahkan negatif.

"Selepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ditangguhkan, saya pulang ke Sabah dan pada Isnin lalu, Jaimin yang masih berada di Kuala Lumpur memberitahu yang dia berasa tidak sihat dan saya minta dia buat ujian saringan Covid-19 sekali lagi," katanya kepada BH, hari ini.




Menurut Guan Dee, Jaimin kemudian disahkan positif sebelum dikuarantin dan dirawat di sebuah hospital sejak Isnin lalu sehinggalah menghembuskan nafas terakhir, semalam dan dikebumikan, hari ini.

Katanya, beliau amat bersedih dengan pemergian Jaimin dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu hantaran di Facebook, tengah malam tadi memaklumkan berita kematian Jaimin disahkan selepas beliau menelefon adiknya, Datuk Seri Sabin Samitah.



Katanya, beliau dimaklumkan jenazah Jaimin akan dikebumikan di Cyberjaya, hari ini.

"Datuk Jaimin adalah Timbalan saya semasa saya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

"Saya akan abadikan kenang kenangan keperibadian dia yang senang bergaul dengan senyuman namun tegas dalam pendirian.

"Kita kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak melabur jasa bakti kepada masyarakat," katanya.

Jaimin yang berasal dari Ranau, Sabah adalah Ahli Majlis Tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah yang juga Penyelaras Parlimen Ranau selain dilantik sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Guan Dee.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan, memaklumkan sebanyak 85 kes positif dikesan di Parlimen hasil saringan menggunakan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Beliau dipetik berkata, 56 kes dikenal pasti melalui saringan sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan empat lagi ialah kes kontak rapat.

Katanya, 17 kes lagi dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat berlangsung, termasuk lima kes baharu yang dilaporkan antara 30 Julai hingga 5 Ogos lalu dan tiga kes kontak rapat.

"Lapan kes melalui saringan sebelum Mesyuarat Khas Dewan Negara. Setakat ini, enam sampel berkemungkinan besar ialah varian delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.