Polis berjaya tangani kesesakan di PPV SICC

Pasukan polis berjaya mengawal keadaan di PPV SICC berikutan kesesakan orang ramai di kawasan berkenaan. Gambar ihsan IPD KK

Kesesakan Penerima Vaksin Di PPV SICC Ditangani Dengan Baik



KOTA KINABALU: Tindakan pantas pasukan polis berjaya menangani kesesakan orang ramai yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Gambar yang menunjukkan suasana sesak orang ramai di kawasan perkarangan PPV berkenaan mula tular di media sosial sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, dua pasukan pemantau dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Balai Polis Kota Kinabalu menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan berkenaan pada jam 7.30 pagi.

"Orang ramai yang dilihat sedang beratur di dalam gambar terbabit adalah merupakan individu-individu yang ingin mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

"Hasil pemerhatian awal, pasukan polis mendapati kawasan perkarangan PPV SICC penuh sesak dengan anggaran melebihi 5,000 orang yang ingin mendapatkan suntikan vaksin sama ada secara 'walk-in' atau janji temu," katanya.


VAKSIN: Orang ramai yang datang mendapatkan vaksin diarahkan menunggu giliran dengan mematuhi SOP. Gambar Ihsan IPD KK
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati warga tempatan yang beratur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua terutama dalam aspek penjarakan sosial.

Bagaimanapun katanya, warga asing yang tidak mempunyai janji temu didapati beratur tanpa mematuhi penjarakan sosial dengan alasan tidak tahu SOP PPN.

Sehubungan itu beliau berkata, pasukan pemantauan memberikan penerangan dan panduan kepada mereka yang tidak mematuhi SOP serta memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang jika mengulangi perbuatan tidak mematuhi SOP PPN Fasa Dua.

"Keadaan berjaya diatasi sepenuhnya setelah pasukan pemantau dengan kerjasama Balai Polis Kota Kinabalu serta petugas lain meminta orang ramai untuk mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," jelasnya.

Kebenaran untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara walk-in dikuatkuasakan di Sabah sejak 12 Ogos lepas.

Namun selepas kebenaran itu dilaksanakan, beberapa PPV di seluruh negeri mula sesak dengan kehadiran orang ramai hingga berlakunya kegagalan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Post a Comment

أحدث أقدم