Polis Koperal ‘Mandi Debu’ Ketika Hantar Bakul Makanan Kepada Penduduk Di Tenom

SERAGAM Sabhi (kiri) dan Md Muzafar Azrin Khan n (kanan) serta Fidelis (tengah) dipenuhi debu sepanjang hampir dua jam perjalanan menaiki pacuan empat roda menuju ke Kampung Rundum, Kemabong, Tenom. | Laporan oleh: ASYIKIN ASMIN/ Sinar Harian



TENOM : Walaupun terpaksa ‘makan debu’ sepanjang lebih 30 kilometer perjalanan ke Kampung Rundum, Kemabong, itu bukan halangan bagi sepasukan pegawai dan anggota polis menyampaikan bakul makanan kepada penduduk terjejas menerusi Op Bantu.

Keadaan jalan tidak berturap dan kering selain hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda menyebabkan pakaian seragam serta badan tiga anggota polis diselaputi debu tebal sebaik tiba di lokasi.

Koperal Sabhi Julahi yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu memberitahu, sejak Op Bantu dilancarkan pada Julai lalu tugas itu sudah menjadi sebahagian tanggungjawab mereka membantu rakyat.

“Kami sudah biasa untuk program Op Bantu penduduk termasuk di pedalaman tetapi ini kali pertama berdepan dengan pengalaman debu ‘melekat’ di baju seragam dan seluruh badan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika membawa bakul makanan untuk penduduk Kampung Rundum pada Isnin.

Sabhi bersama dua rakannya, Koperal Md Muzafar Azrin Khan Abdul Hasan serta Koperal Fidelis Alla yang menaiki ruang belakang pacuan empat roda bertahan selama hampir dua jam perjalanan menuju ke kampung berkenaan.


Sabhi (kiri) bersama dua rakannya, Koperal Md Muzafar Azrin Khan Abdul Hasan (kanan) serta Koperal Fidelis Alla (tengah) duduk di ruang belakang pacuan empat roda ketika menghantar bakul makanan kepada penduduk di Kampung Rundum, Kemabong, Tenom.| Laporan oleh: ASYIKIN ASMIN/ Sinar Harian
Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, sebanyak 30 bakul makanan disumbangkan kepada penduduk di kampung berkenaan.

“Kampung ini dimajukan sebagai pusat pelancongan sebelum ini namun sejak pandemik Covid-19 melanda ia ditutup menyebabkan ramai penduduk hilang punca pendapatan dan terpaksa bergantung kepada hasil pertanian.


Jalan menuju ke Kampung Rundum tidak berturap dan kering menyebabkan anggota polis terpaksa mengharungi debu jalan sepanjang perjalanan.| Laporan oleh: ASYIKIN ASMIN/ Sinar Harian
“Bagaimanapun keadaan jalan tidak berturap dan jauh dari pekan menyebabkan hasil pertanian juga sukar dipasarkan sekali gus menjejaskan pendapatan penduduk kampung,” katanya. - Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.