Sabah belum putuskan lagi

Gambar hiasan



KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah belum membuat sebarang keputusan berhubung kebenaran solat jemaah di masjid untuk individu yang menerima dua dos vaksin lengkap.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata pihaknya sebelum ini sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang meletakkan syarat individu yang menerima dos vaksin lengkap dibenarkan melaksanakan solat jemaah di masjid atau surau pada Jun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah menangguhkan pelaksanaannya dan setakat perkembangan terkini masih belum ada sebarang kata putus walaupun Perdana Menteri sudah mengumumkan mengenai kelonggaran untuk individu lengkap vaksin.

"Insya-Allah, kita juga sedang menunggu kenyataan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman individu lengkap vaksin dibenarkan solat jemaah di masjid.

Oleh itu, pihaknya menerusi Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) dan juga Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sudah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah sekiranya ada kelonggaran yang dapat diberikan berkaitan jumlah jemaah.

Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada situasi semasa COVID-19 di negeri ini.

Kerajaan negeri sebelum ini membenarkan pelaksanaan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat secara berjemaah dengan bilangan 12 orang sahaja.

Keutamaan diberikan kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin termasuk pelaksanaan solat sunat Aidiladha bulan lalu.

Post a Comment

أحدث أقدم