Tun Sakaran Dandai |
Bekas KM, TYT, Sakaran dimasukkan ke ICU, disyaki terkena jangkitan Covid-19
KOTA KINABALU: Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai dimasukkan ke sebuah hospital swasta, dekat sini, sejak Rabu minggu lalu selepas dijangkiti Covid-19.
Anak ketiga Sakaran, Datuk Seri Nasir Sakaran berkata, ayahnya berada dalam keadaan baik dan stabil ketika mula-mula dimasukkan ke hospital.
Namun, katanya, ayahnya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sejak semalam atas nasihat doktor supaya dapat dipantau dengan rapi.
“Sebelum ini, ayah mengadu kurang sihat termasuk mengalami batuk yang berpanjangan.
“Jadi, kami membawa beliau untuk mendapatkan rawatan namun disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan.
Tun Sakaran Dandai pernah menjadi TYT Negeri Sabah (1995-2002). |
Mengulas lanjut, Nasir berkata, dia bersama ahli keluarga lain kini hanya berhubung dengan ayahnya melalui panggilan video bagi bertanyakan khabar kesihatan beliau.
“Alhamdulillah… Sebentar tadi saya baru membuat panggilan video dan ayah memaklumkan beliau dalam keadaan baik.
“Beliau turut meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan dan kesihatannya,” katanya.
Sebelum ini, Tun Sakaran pernah memegang jawatan bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). – HMetro
إرسال تعليق