Warisan sokong PH jika Anwar raih nombor ‘magic’ – Azis Jamman

WARISAN Sedia Sokong Anwar Jadi Perdana Menteri Ke-9 | Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman



KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) hari ini menyatakan kesediaan parti itu menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke sembilan.

Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman bagaimanapun berkata, tawaran itu boleh diberi jika Ahli Parlimen Port Dickson itu dapat membuktikan beliau memperoleh angka sokongan mencukupi.

“WARISAN akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jika Anwar dapat memberikan nombor magik (jumlah sokongan majoriti) dan berharap Pakatan Harapan (PH) memberikan tawaran pula kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jika Anwar tidak dapat memperoleh nombor magik itu.

“Minimum 111 daripada 220 Ahli Parlimen dan seperti sekarang ini, pembangkang memiliki 105 Ahli Parlimen, jadi kita kekurangan tujuh lagi Ahli Parlimen,” katanya.

Mohd Azis berkata, kedua-dua pemimpin WARISAN dan PKR itu perlu bertemu untuk menunjukkan sokongan masing-masing sebelum nama dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
“Sesiapa yang mendapat (sokongan) tertinggi harus diberi peluang menulis nama mereka di akaun bersumpah (SD), adakah anda mempunyai idea lain?” katanya ketika menjawab ciapan pengguna Twitter.

Pemimpin WARISAN yang dihubungi hari ini tidak menolak kemungkinan nama Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna turut dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dan difahamkan, ia satu percaturan dibuat parti itu serta Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Berdasarkan senarai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini, WARISAN memiliki lapan Ahli Parlimen, manakala empat Ahli Parlimen PEJUANG.

Jumlah 12 Ahli Parlimen WARISAN dan PEJUANG ini, biarpun lebih kecil berbanding parti lain dalam PH, namun ia berupaya mempengaruhi jumlah sokongan kepada Anwar, yang sememangnya mengharapkan mendapat sokongan penuh daripada blok pembangkang.

Ketika ini, difahamkan PH sedang berusaha mendapatkan sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan sebelum ini terutama UMNO untuk melengkapkan jumlah sekurang-kurangnya sokongan majoriti mudah. – BH Online

Post a Comment

أحدث أقدم