Pencipta lagu Sayang Kinabalu kecewa
KOTA KINABALU: Bayaran royalti bagi lagu-lagu etnik tempatan negeri Sabah adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan lagu-lagu di Semenanjung dan ia merupakan satu penghinaan kepada seniman-seniman Sabah.Itu luahan Pengerusi Persatuan Komposer dan Pembikinan Video Muzik Sabah (SCORE), Asmin Mudin yang mengatakan bahawa ini juga berlaku kepada ahli seniman di Sarawak.
Beliau berkata, lagu-lagu KDM (Kadazan Dusun dan Murut) seperti 'Id Pagandadan' ciptaan dan nyayian Fabian William dan 'Adaa' nyanyian Clarice John Martha hanya dibayar lebih kurang RM60 setahun sedangkan lagu-lagu itu selalu dimainkan di kampung dan hotel mahupun kelab.
"Lagu saya sendiri 'Sayang Sabah' hanya dibayar RM124 setahun, manakala lagu etnik Bajau juga tidak terkecuali seperti lagu 'Lampa-Lampa Pisang' yang hanya dibayar RM300 setahun
"Jika dibandingkan dengan di Semenanjung, lagu-lagu mereka yang popular dibayar di situ dibayar RM15,000 setahun untuk sebuah lagu. Kita dapat melihat wujudnya jurang perbezaan yang sangat jauh dan ini cukup membayangkan di mana kita begitu terpinggir dan tersisih," katanya semasa sesi forum UPKO yang bertajuk "Harapan Rakyat Melalui Pembentukan Persekutuan Malaysia" melalui aplikasi Clubhouse, baru-baru ini.
Menurut Asmin, mengikut data terbaru yang diperolehi daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), lagu-lagu yang lulus untuk siaran RTM adalah sebanyak 9,139 buah.
Jika dipecahkan, terdapat 3,246 buah lagu Dusun manakala lagu Kadazan mempunyai 3,048 buah; lagu Murut 1,363 buah; lagu Bajau 1,307; lagu Rungus 58 buah; lagu Iranun 31 buah; lagu Tatana 28 buah; lagu Bisaya 12 buah; dan lagu Sungai sebanyak enam buah.
Tambahnya, terdapat lebih kurang 12,000 buah lagu etnik di Sabah termasuk yang tidak berjaya ditapis dan ini menggambarkan kekayaan budaya di Sabah jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Kelantan di mana lagu-lagu dikir barat tidak mencapai jumlah itu.
"Malangnya, sejak kewujudan Akta Harta Intelek 1987 dahulu yang kononya untuk menjaga kebajikan atau royalti semua karya-kaya muzik di seluruh negara termasuk lagu-lagu etnik di Sabah dan Sarawak, akta itu ternyata gagal untuk menjaga lagu-lagu di seluruh negara secara sama rata.
"Inilah persatuan kami cuba perjuangkan sejak empat tahun lepas. Apabila kami ke Semenanjung untuk persoalkan perkara ini, mereka gagal untuk memberi jawapan yang memuaskan.
"Malahan, alasan yang mereka berikan adalah lagu-lagu etnik di Sabah ini hanya diputarkan semasa Pesta Kaamatan yang dinyayikan di acara keramaian, sedangkan kita di sini sudah sejak dahulu kala lagi mendengarkan lagu-lagu ini. Dengan lagu-lagu inilah kita membentuk sosial budaya di sini di mana kita hidup dengan harmoni tidak mengira kaum dan agama," jelasnya.
Pengerusi itu berkata, 12,000 buah lagu Bahasa ibunda Sabah ini merupakan harta intelek dan akta itu jelas sekali menyatakan kesamarataan itu harus diberikan kepada semua jenis lagu, namun badan yang mengawal selia akta itu gagal menjaga kebajikan pencipta-cipta lagu, terutamanya lagu etnik tempatan di Sabah.
"Sempena dengan Hari Malaysia ini, harapan kami ialah untuk memperkuatkan lagi hak muzik dan kami mahu memperkasakan kawalan itu dengan menubuhkan Pertubuhan Harta Intelek Sabah' dengan mengguna saluran Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Dengan ini, apabila hal ehwal harta intelek bagi lagu-lagu selesai dan kita dapat kawal serta mentadbir royalti kita sendiri, kita dapat meningkatkan karya-karya muzik tempatan di Sabah.
"Harapan kami dari SCORE ialah agar kami dapat menubuhkan badan perlesenan kami sendiri khusus bagi lagu-lagu etnik di negeri Sabah.
"Kami akan memperkasakannya lagi dengan menubuhkan sebuah organisasi khusus untuk menjaga harta intelek di Sabah iaitu Harta Intelek Sabah.
SOURCE: Nabalu News
Kongsikan artikel ini:
إرسال تعليق