Masidi Manjun berkata, beliau sendiri sering berhubung dan berbincang dengan beberapa wakil rakyat pembangkang khususnya melibatkan perkara berkaitan pengurusan Covid-19 di Sabah.
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, “penyakit” di Semenanjung tidak patut dibawa ke Sabah sebaliknya semua pihak termasuk pembangkang di negeri itu perlu terus bekerjasama.
Walaupun tidak dijelaskan apakah maksud “penyakit” yang disebutrnta, beliau dipercayai merujuk kepada pergolakan politik yang berlaku melibatkan kerajaan persekutuan baru-baru ini.
Katanya, beliau sendiri sering berhubung dan berbincang dengan beberapa wakil rakyat pembangkang khususnya perkara berkaitan pengurusan Covid-19 di Sabah.
“Saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan (ADUN) Sindumin (Yusof Yacob), saya rasa kita bekerjasama lebih rapat berbanding apa yang difikirkan orang lain.
“Pelawat tetap saya di pejabat (untuk berbincang) ialah ‘adik’ saya (ADUN) Luyang (Phoong Jin Zhe), tiada masalah bagi kita di Sabah.
“Saya amat setuju (kenyataan ADUN Sindumin), jangan ‘penyakit’ di Semenanjung dibawa ke Sabah kerana pada akhirnya sama ada kamu di sini atau di sana, kita bekerja untuk rakyat yang sama, rakyat Sabah, itu yang paling penting,” katanya dalam ucapan perbahasan di sidang DUN Sabah.
Terdahulu, Yusof ketika mencelah ucapan perbahasan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya berkata, wakil rakyat pembangkang perlu lebih banyak dilibatkan dalam program kerajaan.
Katanya, semua pihak sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang perlu melupakan segala sengketa politik kerana pilihan raya negeri (PRN) sudah berlalu.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, pihaknya akan berusaha untuk memperbaiki sistem penyampaian maklumat berkaitan wabak berkenaan.
Katanya, beberapa data atau maklumat yang dikeluarkan buat masa ini bukanlah maklumat atau kejadian yang berlaku dalam tempoh 24 jam.
“Sebagai contoh semalam kes kematian begitu tinggi, iaitu 87 kes, tetapi ia bukanlah berlaku dalam tempoh 24 jam, ada kes kematian yang sudah berlalu beberapa hari kerana kita perlu membuat verifikasi dan sebagainya.
“Bagaimanapun, kita akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki maklumat ini termasuk juga jumlah kes harian,” katanya. – FMT
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق