Jejantas Skybridge secara rasmi boleh diguna hari ini

Pintu masuk ke-7 iaitu pintu masuk Centre Point belum dibuka kerana pihak Centre Point sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan Jejantas Skybridge siap keseluruhannya

Jejantas Skybridge kini boleh diguna

KOTA KINABALU: The Skybridge Kota Kinabalu kini dibuka kepada orang awam bermula 9 September 2021.


Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Noorliza Awang Alip berkata, Jejantas Skybridge sepanjang 400 meter itu adalah sebahagian daripada Projek Skybridge Pedestrian Linkages and Traffic Improvement Works bernilai RM 31.5 juta.

"Ia merangkumi komponen-komponen seperti Jejantas Skybridge yang dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, eskalator dan lif untuk golongan kelainan upaya; pembaikan jalanraya, lintasan pejalan kaki; menaik taraf bulatan menjadi persimpangan dengan lampu isyarat; laluan pejalan kaki berbumbung; lampu jalan serta peningkatan landskap dan hiasan jalan.


"Syarikat pemaju telah membiayai projek ini melalui peruntukan Dana Mudahcara daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS)," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, pada tahun 2018 syarikat pemaju telah digulungkan dan akibat daripada penggulungan itu Dana Mudahcara telah dibatalkan oleh UKAS.


Katanya, apabila Dana Mudahcara telah dibatalkan, projek itu terbengkalai. Demi kepentingan awam, DBKK telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri Sabah bagi menyiapkan projek ini.

"Atas keprihatinan kepada rakyat, Kerajaan Negeri bersetuju membiayai projek tersebut atas dasar perkongsian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan iaitu 50 peratus-50 peratus.


"Jumlah peruntukan yang diluluskan untuk menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja yang belum disiapkan adalah sebanyak RM4.7 juta.


"Jejantas Skybridge ini menghubungkan Pusat Komersial Api-Api, Pusat Membeli Belah Centre Point, Pusat Komersial Warisan Square dan Oceanus Waterfront melalui laluan pintu masuk Oceanus, pintu masuk Warisan, pintu masuk Marina, pintu masuk Api Api 1, pintu masuk Api Api 2 dan pintu masuk Asia City," katanya.


Sementara itu katanya, pintu masuk ke-7 iaitu pintu masuk Centre Point belum dibuka kerana pihak Centre Point sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan Jejantas Skybridge siap keseluruhannya.

Katanya, dalam aku janji yang dikeluarkan oleh pihak Centre Point juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan.


"Secara keseluruhannya Jejantas SkyBridge dilengkapi dengan kemudahan jejantas berbumbung, eskalator, dua lif untuk golongan kelainan upaya, 20 kiosk perniagaan berhawa dingin dan kamera Litar tertutup bagi tujuan keselamatan.


"Pihak DBKK berharap Jejantas SkyBridge ini bukan saja dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetapi juga membantu menyediakan kemudahan perniagaan untuk mereka yang berminat," katanya.



Menurutnya, borang tawaran untuk menyewa lot-lot berkaitan akan diedarkan dalam masa terdekat. Pihak DBKK juga mengharapkan agar para pengguna sentiasa menjaga kebersihan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan.

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

أحدث أقدم