Polis berkas banduan terakhir lolos daripada pusat kuarantin di Tawau
TAWAU: Selepas dua hari diburu polis, seorang lagi tahanan warga asing yang melarikan diri ketika dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Arena Belia, Jalan Utara dekat sini, berjaya ditangkap semula hari ini.Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek berjaya ditangkap semula di Batu 15 Jalan Apas, selepas dua hari diburu polis.
“Suspek warga Filipina, Jimnajir Annor berusia 23 tahun dengan alamat terakhirnya di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, berjaya dikesan polis sebelum ditangkap pada 1.30 tengah hari tadi.
“Suspek pada 5 Ogos dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan satu sebatan oleh mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu tiga tahanan melarikan diri dari PKRC di sini, pada jam 12.30 tengah malam pada Ahad dengan mengumpil kunci dan memecahkan pintu tandas sebelum memanjat pagar di pusat kuarantin berkenaan.
Bagaimanapun dua suspek berjaya ditahan semula di dua lokasi berasingan pada keesokan harinya (Isnin) selepas pihak polis melancarkan Ops Tutup dan Ops Kesan. – HMetro
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
إرسال تعليق