Rumah mampu milik dijual RM47,000 seunit

http://beritaup2date.blogspot.com/ Kerajaan Sabah akan membina lebih banyak rumah kos rendah yang mampu milik, selamat dan kondusif untuk golongan B40 dan berpendapatan rendah.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan melaksanakan projek Perumahan Awam Mampu Milik yang akan dijual pada harga RM47,000 seunit dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata ia antara langkah untuk menyediakan perumahan mencukupi kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, setinggan dan B40.



“Di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 pula, kerajaan negeri dengan kerjasama sektor swasta sedang giat membina sebanyak 662 unit rumah mampu milik, masing-masing 502 unit di Kinarut dan 160 unit di Tuaran,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan pada majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan bandar serta pekan untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.

“Ini termasuklah pelaksanaan projek pembinaan dan menaik taraf kemudahan awam seperti pasar umum, tapak tamu, gerai, tandas awam dan dewan masyarakat.

“Pelaksanaan projek-projek berkenaan akan memberi keselesaan kepada peniaga, pengunjung, orang awam dan memberi pulangan hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui kutipan bayaran lesen perniagaan,” katanya.

Sementara itu, katanya perancangan pembangunan guna tanah mampan dan sistematik turut menjadi antara fokus pembangunan kerajaan negeri pada masa ini.


Jelasnya sebanyak 10 Kajian Pelan Tempatan dirancang untuk dilaksanakan dalam RMKe-12.

“Kerajaan negeri akan memastikan sebarang penyediaan Pelan Tempatan yang merangkumi pengezonan kawasan akan dilakukan mengikut kesesuaian cadangan guna tanah, pematuhan memorandum perancangan dan garis panduan pembangunan sedia ada.

“Sebagai tambahan, bagi memudah cara proses permohonan kebenaran merancang bersyarat, kerajaan negeri sedang membangunkan aplikasi e-submission Development Plan untuk menyokong dasar kerajaan negeri untuk memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan melalui teknologi maklumat (ICT),” katanya.


Tambahnya, melalui inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0, kerajaan negeri juga sedang giat mewartakan Pelan-Pelan Daerah dan Tempatan di setiap daerah di Sabah mengikut peruntukan Seksyen 6 dan Seksyen 7 Ordinan Perancang Bandar dan Desa Sabah Bab 141 (Sabah Cap 141).

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri akan berusaha untuk mewujudkan pembangunan persekitaran hidup yang mampan dan kondusif melalui pembangunan landskap.

SOURCE: DEASOKA

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم