TANDA ‘X’ menggunakan kayu di lubang lombong menunjukkan ada kematian pelombong di situ. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
PGA bongkar aktiviti lombong emas di Lahad Datu
Lahad Datu: Sekurang-kurangnya empat nyawa pernah terkorban di lombong emas haram di Sungai Bole, Hutan Simpan Ulu Segama Malua dekat Lembah Danum yang dibongkar pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) baru-baru ini.Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, ia berdasarkan maklumat daripada bekas pelombong bahawa pernah berlaku dua kejadian runtuhan di situ.
Menurutnya, ia menyebabkan pelombong yang bertugas menggali dan mengambil tanah terperangkap.
"2 pelombong dipercayai tertimbus dan mati dalam lubang lombong terbabit.
"Apa yang kami difahamkan, menjadi adat pelombong supaya tidak membongkar atau mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
"Sebagai tanda ada pelombong maut di sesuatu kawasan, mereka akan letakkan tanda 'X' menggunakan kayu di luar pintu masuk lubang lombong berkenaan," katanya ketika ditemubual Harian Metro.
Dalam pada itu, beliau berkata, kematian ketiga pula membabit pergaduhan.
"Terdapat satu kematian yang berlaku disebabkan perbalahan sesama mereka dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pembahagian tugasan.
"Ia terjadi apabila ada pelombong yang marah dengan rakannya yang bekerja di bahagian yang mudah untuk mengambil emas secara diam-diam lalu timbul rasa tidak puas hati antara mereka sehingga bergaduh dalam lubang terowong.
"Seorang kemudiannya terbunuh dan jasadnya juga dikatakan dibiarkan di lombong berkenaan," katanya.
Antara lubang pelombongan emas yang ditemukan di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum dekat sini. (Gambar kecil) Anggota PGA memeriksa lubang lombong yang ditemui. Foto Hazsyah Abdul Rahman
Menurutnya, kematian keempat berlaku apabila ada pelombong mati akibat penyakit.
"Ada pelombong terkena malaria dan sebelum sempat dibawa keluar dari hutan simpan berkenaan, dia dilaporkan sudah meninggal dunia," katanya.
Justeru itu, beliau berharap dengan penemuan lokasi lombong itu, ia dapat menghentikan kejadian tidak diingini daripada terus berlaku.
Lahad Datu: Aktiviti melombong emas secara haram sejak 90-an berjaya dibongkar pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan WWF serta agensi lain.
Kegiatan itu terbongkar susulan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum dekat sini.
Timbalan Komander PGA Briged Sabah Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang lancarkan sejak Ogos lalu selepas ia dilancarkan oleh Komander PGA Briged Sabah.
"Dalam operasi ini, ia memfokuskan seluruh Sabah. Ia bukan setakat di dalam hutan sahaja juga di perairan.
"Antara penemuan yang dikira sangat penting dalma operasi ini adalah aktiviti melombong emas haram," katanya kepada Harian Metro.
Toipi berkata, lokasi kegiatan mencuri khazanah negara itu berjaya dikesan pada 21 Ogos lalu hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini.
"Pasukan operasi berjaya menemui lokasi pelombongan itu selepas menempuhi perjalanan selama lapan hari.
"Ia disusuli operasi penggeledahan dilancarkan dan maklumat yang diterima mendapati aktiviti melombong emas di kawasan hulu sungai berkenaan sudah berlarutan sekitar 1990-an lagi," katanya.
Menurutnya, bukan mudah untuk petugas operasi sampai dan menemui lokasi berkenaan.
Pasukan PGA melakukan pemeriksaan aktiviti perlombongan emas di sepanjang Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.
"Petugas operasi terpaksa menempuh perjalanan di hutan tebal, melalui jeram, mendaki dan menuruni bukit serta perlu meredah sungai berbatu untuk ke lokasi berkenaan," katanya.
Walaupun sukar, katanya, anggota bertugas akhirnya berjaya tiba di lokasi berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi itu pihaknya menemui ratusan lubang atau lombong emas di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole.
"Kira-kira 103 lubang lombong ditemui untuk satu kilometer di sepanjang tebing sungai berkenaan.
"Pelombong berkenaan dipercayai menggunakan kaedah tradisional bagi melombong emas di kawasan tersebut," katanya.
Anggota Operasi Bersepadu Khazanah menemui barang-barang yang ditinggalkan oleh suspek yang terlibat dalam kegiatan perlombongan emas haram di Lahad Datu. (Gambar PDRM)
Menurutnya, dalam operasi itu juga pelbagai barangan disyaki untuk kegiatan melombong seperti dulang, alat penimbang digital, baldi dan penyodok tanah.
Antara terowong yang dikesan dipercayai wujud hasil daripada aktiviti melombong emas secara haram di kawasan Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.
"Makanan seperti beras, gula, mi segera, minuman segera dan peralatan memasak turut ditemui di lokasi terbabit.
TANDA ‘X’ menggunakan kayu di lubang lombong menunjukkan ada kematian pelombong di situ. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
"Senjata api jenis bakakuk dan senapang guli turut ditemui di lokasi berkenaan," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menemui enam lokasi penempatan yang diwujudkan di kawasan berkenaan.
PONDOK: Pondok atas pokok dipercayai sebagai penempatan sementara pelombong haram.
"Tempat tersebut ada lebih kurang enam penempatan yang mempunyai 14 pondok dibina dengan kanvas termasuk rumah atas pokok," katanya.
Senjata api dan peralatan melombong yang ditemui disimpan dalam 'dump' di kawasan penempatan pelombong haram di Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.
Dengan penemuan berkenaan, pihaknya berharap berjaya menghentikan kegiatan mencuri hasil negara terbabit.
SOURCE: Harian Metro , Sinar Harian
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق