hujan lebat dijangka berlaku di Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari 2022 - MetMalaysia

Picture
Gambar hiasan. Foto BERNAMA
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


Negara dijangka alami Monsun Timur Laut biasa

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menolak kemungkinan cuaca tidak menentu ketika ini akan menyebabkan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku awal November ini, sebagai ekstrem.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Lim Ze Hui, berkata bagaimanapun negara pernah mengalami Monsun Timur Laut `ekstrem' pada tahun 2014 yang menyebabkan banjir terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia.

"Jika kita rujuk pada Monsun Timur Laut 'ekstrem' ia boleh dikaitkan dengan kejadian di negara ini pada tahun 2014.

"Namun pada pandangan saya, Monsun Timur Laut kali ini tidak akan seteruk dialami pada 2014 dan ia berkemungkinan hanya akan sama seperti berlaku pada 2019 dan 2020," katanya.


Beliau berkata demikian pada Webinar Cabaran dan Persediaan Norma Baharu anjuran MetMalaysia yang diadakan secara maya, hari ini.

Ze Hui berkata, perbandingan itu berdasarkan fenomena La Nina lemah yang sedang berlaku ketika ini selain berdasarkan ramalan negeri yang akan menerima hujan paras normal.

Mengenai keadaan cuaca yang lembab sepanjang tempoh Monsun Barat Daya, beliau berkata, ia kerana tempoh peralihan fenomena La Nina yang awalnya bersifat semula jadi dan beralih menjadi lemah.

"Apabila peralihan itu berlaku, ia memberi gangguan kepada tiupan angin Barat Daya di mana Monsun Barat Daya kita dalam tempoh sepatutnya monsun biasa, bertukar menjadi monsun yang melemah.


"Jadi tempoh melemah itu menjadi agak panjang sehingga ketika Monsun Barat Daya baru-baru ini, sepatutnya cuaca kering dan berjerebu, namun apa yang kita alami adalah cuaca agak lembab dan tiada fenomena jerebu,' katanya.

Justeru katanya, keadaan cuaca yang berlaku ketika ini mempunyai kaitan dengan fenomena La Nina lemah.

4 ke 6 episod hujan lebat dijangka melanda dari November hingga Januari

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata, Monsun Timur Laut diramal berlaku pada November hingga Mac 2022.

Picture
4 hingga 6 episod hujan lebat yang besar dengan kemungkinan banjir dijangka berlaku pada fasa awal Monsun Timur Laut dari November hingga Januari tahun depan. - Gambar fail Bernama

Katanya, sepanjang tempoh itu, 4 hingga 6 episod hujan lebat yang signifikan dan dijangka boleh mengakibatkan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember.

"Pada Disember hingga Januari 2022, hujan lebat dijangka berlaku di Johor, Sabah dan Sarawak.


"Bagaimanapun udara yang sejuk ketika ini juga boleh mempengaruhi keadaan cuaca negeri di pantai barat semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata, jangkaan jumlah hujan tertinggi ketika Monsun Timur Laut adalah pada November dan Disember di Kelantan serta Terengganu dengan jangkaan menerima taburan hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 450 milimeter (mm) sehingga 1,000 mm.

"Bagi Januari hingga Mac 2022, semua negeri di semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata kecuali di pedalaman dan barat Sarawak serta timur Sabah yang dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata pada Januari iaitu 350 mm hingga 950 mm," katanya.

SOURCE: Berita Harian

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم