WARISAN Lebar Sayap Ke Semenanjung, Mahu Tanding Semua Kerusi Parlimen

Picture
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


Warisan ke Semenanjung

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersedia untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung, dan menjalinkan kerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya sudah membuat persediaan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen pada PRU-15.


Katanya, keputusan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen itu telah dibuat pada peringkat Majlis Tertinggi parti berkenaan.

Beliau berkata, pengalaman luas beberapa pemimpin WARISAN yang pernah berkhidmat pada peringkat nasional, menjadi antara faktor kesediaan parti itu berbuat sedemikian.

“Kita menawarkan diri dan memutuskan untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen pada PRU-15.


“Jika UMNO, PBS (Parti Bersatu Sabah), GPS (Gabungan Parti Sarawak), PKR dan PAS bertanding di Sabah atau Sarawak, takkan WARISAN tidak boleh menawarkan diri sebagai pilihan pada PRU-15,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan MUDA pula, Shafie Apdal berkata, perkara itu masih dalam proses perbincangan dan sebarang keputusan berkaitan akan diperhalusi.


“Kita mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai perkara ini, termasuk untuk memperhalusi bagaimana ia dapat kita realisasikan.

“Ia dilaksanakan sebaik mungkin dan disusun rapi bagaimana untuk memastikan penyertaan golongan muda ini boleh berkhidmat bagi menentukan masa depan negara, dapat kita jayakan.

“Kita sudah menyatakan kesediaan kerjasama (WARISAN-MUDA). Kalau dapat kita jayakan, ini akan kita lakukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan supaya MUDA didaftarkan sebagai sebuah parti politik, pada 14 Disember depan.

Ketika ini, WARISAN mempunyai lapan kerusi Parlimen, iaitu Mohd Shafie (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Kota Belud), Ahmad Hassan (Papar); Datuk Rozman Isli (Labuan) dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan). – BH Online

SOURCE: BH

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم