TERIMA KASIH: Juliana mewakili Allahyarhamah anaknya menerima ijazah daripada Naib Canselor UMS. Foto Ihsan Universiti Malaysia Sabah
KOTA KINABALU: Tiada ungkapan mampu dilafazkan oleh seorang ibu tatkala menerima ijazah Allahyarhamah anak kesayangan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-22 di Dewan Canselor UMS.
Gambar kenangan Allahyarhamah Nusratina di hadapan Bangunan UMS Kampus Antarabangsa Labuan.
Juliana Baru, 57, mewakili Allahyarhamah Nusratina Jalaludin, 24, yang meninggal dunia pada April 2021 di kediamannya di Sipitang.
Ibu arwah kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata semasa menerima ijazah tersebut yang disampaikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin.
Menurutnya, Allahyarhamah amat gembira ketika berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) pada tahun 2020.
“Masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya, arwah sangat teruja untuk menghadiri hari konvokesyennya dan berhasrat ingin bergambar bersama-sama kami sekeluarga.
“Namun, malang tidak berbau, ajal terlebih dahulu menjemput Allahyarhamah,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah anaknya, di sini, pada Ahad.
Ujar Juliana, sebelum kejadian, arwah ada mengadu sakit kepala.
“Lebih memilukan, Allahyarhamah meninggal dunia ketika berada dalam pangkuan ayahnya sambil disaksikan ahli keluarga yang lain.
“Kami masih bersedih dan rindu dengan arwah, tetapi kami juga berbangga dengan pencapaiannya,” katanya menahan sebak.
Juliana menyifatkan anak kelima dari lapan adik beradik itu sebagai seorang anak yang baik, ceria, peramah, taat kepada ibu bapa serta seorang pelajar yang cemerlang sejak di peringkat sekolah rendah.
Ahli keluarga Allahyarhamah Nusratina mengambil gambar kenangan kenangan bersama skrol ijazah sarjana muda yang diterima. Turut kelihatan Juliana (depan lima kanan).
“Arwah sentiasa mendengar nasihat dan tidak pernah melukakan hati kami. Arwah ingin berjaya dalam hidupnya dan membanggakan saya dan ayahnya.
“Namun Allah lebih sayangkan arwah, dan saya reda dengan semua ini,” katanya.
Pada istiadat konvosekyen itu, Juliana hadir ditemani suami dan anak-anaknya yang lain.
“Saya berterima kasih kepada pihak UMS kerana sudi menjemput kami sekeluarga, saya amat hargainya,” kata Juliana.
SOURCE: UB
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق