Penduduk mohon projek Lebuh Raya Pan Borneo dipantau elak jadi punca banjir

Penduduk Kampung Ketiau, Teriah binti Buntak, 61, di kedainya dinaiki air.-foto Bernama

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Pihak berkuasa digesa memantau projek Lebuhraya Pan Borneo bagi mengelak banjir

KOTA KINABALU, 10 Okt (Bernama) -- Penduduk di negeri ini memohon pihak berwajib supaya memantau ketat projek pembinaan mega terutama Lebuh Raya Pan Borneo bagi memastikan projek terlibat tidak lagi menjadi punca bencana terutama banjir dalam keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.

Picture
Beberapa penduduk Kampung Ketiau meredah banjir ketika menunaikan solat di Masjdi Kampung Ketiau. Masjid tersebut antara yang terjejas susulan hujan lebat berterusan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu sejak petang kelmarin. --fotoBERNAMA

Penduduk yang berdepan dengan bencana banjir di sini dan Tuaran ketika ditemui Bernama hari ini memberitahu projek pembinaan infrastruktur terutama Lebuh Raya Pan Borneo amat penting, namun semua kontraktor terlibat perlu mematuhi peraturan serta spesifikasi kerja ditetapkan bagi mengelak bencana.


Penduduk Kampung Ketiau, Putatan, Suit Mahali, 76, berkata kampung itu tidak pernah mengalami banjir namun situasi itu berubah apabila projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dimulakan di kawasan berhampiran sekitar dua hingga tiga tahun lepas.

Pesara kerajaan itu berkata hasil pemerhatiannya sebagai orang asal di kampung itu, sistem perparitan dan saliran mula tersumbat selepas projek itu dilaksanakan sehingga air naik ke kawasan kampung selain perparitan tidak diselenggara dengan betul.


“Kami amat mengalu-alukan Lebuh Raya Pan Borneo dan percaya projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat tetapi kami harap pihak terlibat dapat membantu kami memastikan projek ini tidak menyebabkan banjir dengan memantau ketat dan selesaikan masalah banjir ini,” katanya.

Dilaporkan setakat 5 Sept lepas, projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah mencapai tahap 65 peratus siap dan kerajaan menerusi Bajet 2023 menyasarkan untuk menyiapkan projek tersebut menjelang 2024.


Hujan lebat berterusan petang semalam menyebabkan beberapa lokasi sekitar pantai barat Sabah terutama di daerah Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang dilanda banjir dengan 43 orang daripada 13 keluarga dipindahkan di Penampang setakat 8 pagi tadi.

Seorang lagi penduduk, Rosli Hamid, 49, berkata beliau mendapati air mula melimpah ke rumahnya kira-kira 11 malam tadi dan kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sepanjang beliau menduduki kawasan itu kira-kira 10 tahun lepas.


"Saya rasa kerajaan perlu segerakan pembinaan sungai baharu berhampiran kampung ini agar air tidak lagi melimpah ke kampung ini," katanya yang merupakan seorang mekanik.

Seorang peniaga, Norbert Jadi, 50, yang tinggal di Taman Telipuk Ria, Tuaran pula berkata keadaan banjir di beberapa jalan sepanjang Inanam, Menggatal dan Tuaran dilihat semakin buruk hingga menyebabkan banyak kenderaan terkandas.


"Ada parit tersumbat dan tidak berfungsi. Kita berharap kontraktor atau pihak berwajib ambil berat tentang perkara ini," katanya.

-- BERNAMA

SOURCE: BERNAMA

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم