KOTA KINABALU: Pasukan Sabah FC yakin mampu membawa pulang tiga mata penuh ketika menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, tiga mata itu penting bagi menebus kekalahan skuad Sang Badak di tangan PJ City ketika pusingan pertama Liga Super di Stadium Likas pada Mac lalu.
Katanya, keyakinan untuk menebus kekalahan 1-0 itu berdasarkan persediaan rapi dan latihan berterusan yang dilaksanakan skuad Sabah FC sepanjang kira-kira dua bulan tempoh rehat Liga Malaysia musim ini.
Beliau berkata, anak buahnya berada pada tahap kecergasan dan semangat yang tinggi untuk beraksi semula dengan misi memenangi sebanyak mungkin aksi bagi memperbaiki kedudukan.
Jelasnya, tempoh rehat panjang sejak Mei lalu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memantapkan kekuatan pasukan menerusi program latihan dan perlawanan persahabatan dengan harapan dapat memperbaiki kualiti permainan untuk berdepan pasukan lawan.
"Semua pemain kini berada pada tahap kecergasan 100 peratus dan ini menjadi penyumbang utama bagi misi mencapai kemenangan di gelanggang lawan ketika menentang PJ City FC, malam esok.
"Kita sudah bersiap sedia mencipta kemenangan, ini janji kita kepada pihak pengurusan Sabah FC. Lagipun kita sudah mempunyai tempoh rehat yang secukupnya dengan mengadakan beberapa siri perlawanan untuk menguji tahap keserasian pemain," katanya.
Sabah FC ketika ini berada di kedudukan ketujuh carta Liga Super dengan mengutip 16 mata, manakala PJ City FC di tangga kelapan selepas hanya ketinggalan satu mata.
إرسال تعليق