Jainab Ayid letak jawatan Ahli Lembaga Pengarah UMS

JAINAB AHMAD AYID



KOTA KINABALU: Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid turut meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diambil selepas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kerajaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jainab berkata, langkah itu selaras dengan keputusan yang dibuat kepimpinan UMNO Pusat untuk menarik sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Maka, kami memutuskan untuk meletak jawatan daripada lantikan yang dibuat di peringkat pusat. Pada masa ini, ada pemimpin yang sudah meletak jawatan dan ada yang masih dalam proses untuk meletak jawatan.

“Namun, berikutan autonomi yang ada di peringkat negeri, kita menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) yang mahukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memerintah di Sabah.

“Seperti dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO Sabah akan terus menyokong Kerajaan GRS. Dengan itu, lantikan di peringat negeri tidak akan tergugat,” katanya.

Jelas beliau, apa yg penting sekarang adalah usaha membantu rakyat yang sedang terhimpit akibat pandemik Covid-19 dan membantu mempergiatkan program imunisasi Covid-19 agar usaha mencapai imuniti berkelompok dapat dicapai dengan kadar segera.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMS berkuat kuasa sejak semalam.

Keputusan itu selaras dengan ketetapan yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Majlis Tertinggi UMNO sepakat menarik sokongan daripada Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) pada Selasa.- UTUSAN ONLINE

Post a Comment

أحدث أقدم