KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini membentangkan Bajet 2015 berjumlah RM3.812 bilion dengan mencatat lebihan RM49.23 juta berbanding anggaran kutipan RM3.862 bilion tahun depan.
Ia bajet pertama mencatat lebihan selepas pelaksanaan perbelanjaan defisit diamalkan kerajaan negeri dalam tempoh enam tahun lalu.Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata bajet defisit sebelum ini adalah untuk mempercepat dan melonjakkan pembangunan negeri bagi mengekalkan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.
"Untuk tahun 2015, kita akan terus merancang dan berusaha mencari kaedah terbaik membangunkan negeri dengan memfokus kepada sektor untuk meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
"Pada masa sama, kerajaan komited memastikan kutipan hasil menyumbang kepada pengukuhan kewangan negeri agar dapat menampung keperluan perbelanjaan yang dirancang.
"Dalam konteks ini, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil tahun depan sebanyak RM3.862 bilion. Buat pertama kali sejak 2008, bajet negeri pada tahun depan menghasilkan lebihan sebanyak RM49.23 juta," katanya ketika membentangkan Bajet Negeri Sabah 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Bajet tahun depan juga lebih kecil berbanding RM4.662 bilion yang diperuntukkan dalam perbelanjaan negeri pada tahun ini dan RM4.088 bilion pada tahun lalu.
Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, bajet bertemakan `Menumpu Kelestarian Pembangunan Untuk Kesejahteraan Rakyat' itu mencerminkan komitmen dan iltizam kerajaan negeri melaksanakan agenda pembangunan berterusan, berdaya mapan dan mesra alam.
Beliau berkata, peruntukan bajet tahun depan merangkumi RM716.8 juta untuk emolumen, perbelanjaan berulang (RM1.165 bilion) dan perbelanjaan khas termasuk caruman pembangunan (RM1.93 bilion).
إرسال تعليق