Shafie Apdal calon perdana menteri Malaysia

Mahathir menawarkan Shafie untuk memenuhi peranan itu bagi memecahkan kebuntuan, sekaligus menafikan Anwar sekali lagi untuk jawatan perdana menteri.
Seruan meningkat untuk pilihan ketiga calon perdana menteri PH Plus

Di saat PH dan sekutunya masih dalam kebuntuan ekoran pertikaian antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, satu lagi nama muncul sebagai pilihan ketiga calon perdana menteri mereka.

S hafie Apdal, yang merupakan ketua menteri Sabah dan presiden Warisan, mutakhir ini menjadi topik perbualan di kalangan lingkaran politik sebagai calon PH Plus dalam usaha mereka merampas kerajaan persekutuan daripada Perikatan Nasional (PN).


Menurut sejumlah sumber, Shafie mungkin menjadi pilihan seterusnya yang terbaik buat pembangkang pada masa ini, memandangkan usaha untuk membolehkan Dr Mahathir dan Anwar mencapai kesepakatan masih tidak berjaya.


Meningkatkan lagi spekulasi adalah Warisan dilihat mula secara terbuka membangkitkan idea perdana menteri pertama dari Sabah atau Sarawak untuk mentadbir Malaysia.

"Sabah dan Sarawak adalah rakan setaraf dalam pembentukan Malaysia, tidak kurang berbanding semenanjung. Kami bukan kelas kedua (tetapi) di tahap yang sama.


"Aspirasi untuk melihat orang dari Sabah atau Sarawak memimpin negara sebagai perdana menteri pada masa depan bukanlah suatu yang mustahil," kata Naib Presiden Warisan Junz Wong dalam satu hantaran di Facebook semalam.


Sementara beliau tidak menyatakan sebarang nama, Wong tampak memberi bayangan dengan menyertakan gambar Shafie dalam hantaran itu.

Beberapa jam kemudian, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking juga memuat naik kenyataan bernada serupa di Facebook.


Dalam satu kenyataan ringkas, Leiking berkata mana-mana pemimpin Borneo yang diterima persekutuan boleh memegang jawatan eksekutif tertinggi itu.


"Ramai mungkin tak bersetuju atas sebab masing-masing tetapi sebagai seorang yang sudah lama menjangkakan untuk membetulkan Persekutuan Malaysia, sesiapa yang diterima persekutuan dan datang daripada Borneo juga boleh memimpin persekutuan sebagai perdana menteri.




"Mengapa tidak, bukan? Sudah 57 tahun," kata Leiking merujuk tempoh masa Sabah berada dalam persekutuan Malaysia.

PH mengambil alih pentadbiran persekutuan selepas menang PRU14 pada Mei 2018 - kali pertama negara menyaksikan pertukaran kerajaan sejak kemerdekaaan - tetapi hanya kekal selama 22 bulan.


Dalam "Langkah Sheraton", Muhyiddin Yassin membawa keluar Bersatu daripada PH untuk membentuk kerajaan PN bersama-sama 11 anggota parlimen bekas PKE, Umno, PAS, GPS dan beberapa parti kecil.

PH dan Mahathir - yang kedudukannya dalam Bersatu kini dalam pertikaian - beberapa kali mendakwa mereka mempunyai cukup sokongan untuk merampas semula pentadbiran.

Bagaimanapun, kerjasama yang digelar PH Plus itu tidak dapat mencapai kata sepakat berhubung calon perdana menteri. Warisan - sebahagian daripada kerjasama itu, bertegas agar Mahathir dicalonkan sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

Mahathir bangkitkan nama Shafie


Sementara itu, dipercayai Mahathir telah menawarkan Shafie untuk memenuhi peranan itu bagi memecahkan kebuntuan, sekaligus menafikan Anwar sekali lagi untuk jawatan perdana menteri.

Sumber berkata Mahathir membangkitkan idea itu dalam satu pertemuan tertutup dengan sejumlah kecil anggota Bersatu di Putrajaya semalam.

"Tun (Mahathir) memberitahu bahawa Shafie akan jadi calon perdana menteri PH jika pilihan raya umum diadakan," kata sumber yang rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Menurut sumber, Mahathir telah membawakan cadangan itu kepada DAP dan Amanah.

Ketika pertemuan emalam, Mahathir juga dikatakan memberitahu penyokongnya bahawa beliau sanggup melepaskan kedudukan perdana menteri - jawatan yang telah dipegangnya sebanyak dua kali.

Difahamkan sejumlah 30 ahli akar umbi Bersatu yang hadir. Seorang pegawai Mahathir berkata sesi seumpama itu dianjurkan Mahathir dari masa ke masa untuk bertemu dengan ahli biasa Bersatu.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada Anwar dan partinya, PKR akan setuju dengan cadangan itu.

"Jika mereka tak setuju, maka kita akan bertembung antara satu sama lain dalam pilihan raya," kata seorang sumber Bersatu.

Seorang lagi sumber membangkitkan wawancara Mahathir dengan sebuah akhbar Cina minggu lalu, di mana beliau mengancam untuk menamatkan hubungan dengan PKR.

"Seperti yang Tun sebut sebelum ini, (kerjasama dengan) DAP dan Amanah, tanpa PKR," katanya lagi.


Post a Comment

أحدث أقدم