Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal, sukar menjadi Perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) Plus membentuk kerajaan, tanpa sokongan PKR dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
P enganalisis politik, Mujibu Abd Muis, berkata cadangan melantik Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan boleh tertunai jika mendapat sokongan Anwar dan Ahli Parlimen PKR.Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan berkata, cadangan itu boleh menjadi kenyataan jika digerakkan secara kolektif sebagai pakatan pembangkang dengan sokongan sepenuhnya daripada PKR.
"Hendak lantik sesiapa pun jadi Perdana Menteri bukan persoalannya tetapi apakah pakatan itu mempunyai cukup bilangan kerusi di parlimen.
"Cadangan itu juga berisiko tersekat di tengah jalan jika ditolak dengan kuat oleh Anwar dan PKR atau Ahli Parlimen Sarawak termasuk dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila umumkan bersetuju mencalonkan Shafie yang juga bekas Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri jika PH Plus berkuasa semula manakala Anwar Timbalan Perdana Menteri I dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Timbalan Perdana Menteri II.
Dr Mahathir mendakwa cadangan supaya Mohd Shafie menjadi calon Perdana Menteri bagi PH dan sekutunya dipersetujui sebulat suara dalam pertemuan tidak rasmi gabungan itu kelmarin.
Bagaimanapun, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang turut hadir pada perbincangan itu menegaskan cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat AMANAH dan DAP terlebih dahulu serta seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan secara bersama.
Mujibu berkata, cadangan itu pada dasarnya sukar untuk direalisasikan kerana ditolak oleh Anwar dan PKR serta parti di Sarawak yang menggelarkan idea itu sebagai 'fantasi politik'.
"Barangkali, kedua-dua pihak sudah menghidu yang ini hanya sekadar 'permainan akal' Dr Mahathir," katanya.
Beliau berkata, cadangan dikemukakan Dr Mahathir itu berkemungkinan satu eksperimen hendak menarik sokongan dari Sabah dan Sarawak serta menguji sejauh mana penerimaan warga Borneo dalam politik Malaysia yang didominasi orang Semenanjung.
"Dari segi taktikal, dengan ketiadaan PKR, pembentukan kerajaan PH Plus nampaknya bergantung kepada kerusi dari Sabah dan Sarawak dalam mengimbangi kerusi PKR.
"Dr Mahathir mungkin melihat sokongan AMANAH dan DAP serta bilangan kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang relatifnya kecil tidak akan mampu merampas kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) tanpa sokongan parti dari Sabah dan Sarawak terutamanya WARISAN dan GPS," katanya.
Beliau juga berkata, langkah mencadangkan nama Mohd Shafie mungkin idea terbaik bagi tujuan mengembalikan PH sebagai kerajaan termasuk menarik semula Anwar dalam kerajaan.
"Setakat ini AMANAH dan DAP nampaknya bersetuju, tetapi usaha dibuat untuk menarik Anwar kembali dalam kerajaan PH dengan mencadangkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri I mungkin ditolak oleh Anwar," katanya
.
إرسال تعليق