12 Bahagian UMNO Tolak Bung Moktar Ketuai Jentera BN Sabah
K etua Bahagian UMNO Sabah dan sekumpulan pemimpin parti itu membantah pelantikan Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.Wakil kumpulan itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pemimpin yang menjadi Ketua Jentera Pilihan Raya mestilah bebas daripada persepsi negatif yang boleh dimanipulasi oleh pihak lawan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian UMNO Tuaran berkata, sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya seseorang itu perlu mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan rakyat dan tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan ketika menghadapi PRN.
Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, kini berhadapan perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.
"Kami akan terus istiqamah dalam perjuangan UMNO dan akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan UMNO Sabah dalam PRN yang bakal diadakan.
"Kami tidak akan keluar dari UMNO, tetapi kami berjanji untuk meletakkan semula UMNO dalam landasan politik yang betul dan memastikan tidak ada pemimpin yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti. UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat bukannya untuk kepentingan individu.
"Malam ini adalah manifestasi autonomi yang rakyat Sabah idamkan selama berpuluh tahun ini dan ini adalah peluang untuk UMNO menunjukkan bahawa parti ini mendengar suara rakyat Sabah yang inginkan kebebasan membuat keputusan," katanya pada sidang media yang dihadiri 12 Ketua Bahagian UMNO, di sini, malam tadi.
Antara yang hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Shirlin dna Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad.
Abdul Rahman berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti berlapang dada dan berjiwa besar dan jangan ketepikan semangat autonomi yang beliau sendiri sudah persetujui.
"Autonomi ini mesti diterjemahkan melalui tindakan, bukan sahaja melalui kata-kata. Autonomi UMNO Sabah sudah dinanti-nantikan oleh ahli UMNO Sabah dan rakyat Sabah secara amnya sejak sekian lama," katanya.
Beliau turut menjelaskan sentimen rakyat Sabah keseluruhannya mahukan parti politik di negeri itu ditentukan hala tujunya oleh orang Sabah sendiri.
"Kami percaya pemimpin UMNO Sabah mampu menentukan hala tuju parti itu sesuai dengan kehendak rakyat Sabah dan situasi politik masa kini. Autonomi inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah dan ahli UMNO sejak parti ini bertapak di Sabah 29 tahun yang lalu," katanya.
Enggan menamakan calon bagi mengantikan Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, beliau menjelaskan mereka tidak meragui kepemimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu tetapi keadaan semasa tidak sesuai untuk pemimpin itu dilantik menerajui jentera parti untuk PRN.
"Tan Sri Musa Aman menolak untuk dilantik ke jawatan itu," katanya.
Ditanya tindakan bantahan itu akan menjejaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN bulan depan, katanya tindakan itu bagi menyelamatkan UMNO dan BN.
"Kami yakin UMNO dan BN akan memenangi PRN jadi perkara ini perlu diperbetulkan sekarang," katanya.
Mengakui bantahan itu sudah disuarakan dalam beberapa perjumpaan, katanya ramai kecewa dengan pengumuman Presiden petang tadi.
"Ramai ketua-ketua UMNO Bahagian di Sabah tidak dibawa dirunding, dibawa berbincang untuk mendapatkan keputusan bersama. Malah kami sudah berkali-kali memaklumkan kepada Presiden sebelum ini mengenai pandangan dan kebimbangan kami berkenaan dengan kedudukan Ketua UMNO Sabah.
"Kami berpendapat bahawa ini melanggar semangat autonomi UMNO Sabah yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu," katanya.
إرسال تعليق