334 kenderaan diarah patah balik SJR di Sabah

Sebanyak 334 kenderaan di arah berpatah balik ketika cuba melintasi sekatan jalan raya (SJR) untuk merentas daerah pada hari pertama sambutan Aidiladha di Sabah.

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


334 kenderaan diarah patah balik SJR di Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak 334 kenderaan di arah berpatah balik ketika cuba melintasi sekatan jalan raya (SJR) untuk merentas daerah pada hari pertama sambutan Aidiladha di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 46,701 kenderaan diperiksa di 121 SJR yang beroperasi 24 jam sehari di seluruh negeri.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan 36 kompaun atas pelbagai kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua yang dikesan di seluruh negeri hari ini.

"Masing-masing seramai empat orang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka atau tidak memakai pelitup muka dengan betul dan tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan.


"Seramai lapan orang lagi dikompaun kerana membawa penumpang berlebihan, manakala kompaun tertinggi hari ini ialah gagal mendaftar masuk premis yang membabitkan 21 orang," katanya di sini, malam ini.

Picture
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun

Beliau berkata, penguatkuasaan SOP di kawasan perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pula menjalankan 107 pemeriksaan di kawasan pantai timur Sabah dan 30 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu serta Labuan.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan atau kompaun dilakukan sepanjang pemeriksaan di kawasan perairan Sabah dan Labuan pada hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri turut meneruskan pemeriksaan SOP di premis perniagaan sempena Aidiladha hari ini.

Katanya, daripada 768 premis perniagaan diperiksa, satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mengimbas MySejahtera atau membuat catatan dalam buku pendaftaran membabitkan seorang pekerja premis di daerah Sipitang.


"Selain itu, lima notis atau amaran dikeluarkan PBT pada hari ini iaitu empat notis di daerah Penampang dan satu lagi di daerah Sipitang," katanya.

Masidi berkata, bagi kawasan Kota Kinabalu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan aktiviti pematuhan SOP ke atas 154 premis perniagaan dan 184 individu di 18 kawasan sekitar bandar raya, namun tiada kompaun dikeluarkan.


Katanya, rondaan Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) dan Rondaan Pemantauan Pematuhan SOP Peringkat Komuniti oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dilaksana di 413 premis perniagaan seluruh negeri membabitkan 192 anggota.

"Sebanyak 33 notis amaran dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang tidak mengikuti SOP oleh anggota APM, manakala rondaan sama dilakukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membabitkan 88 anggota di 110 lokasi seluruh negeri pula tidak mengesan apa-apa pelanggaran SOP," katanya.


Selain itu, katanya, hebahan untuk mengingatkan orang ramai mematuhi SOP turut diteruskan sempena Aidiladha hari ini dengan 50 hebahan awam menerusi program Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah, 26 hebahan oleh Unit Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan 61 hebahan dilakukan Unit Kereta Peronda PDRM Sabah.


Sabah mengetatkan SOP sempena sambutan Aidiladha bermula hari ini termasuk melarang rentas daerah dan aktiviti ziarah, selain mengehadkan kehadiran umat Islam yang menyertai aktiviti korban serta solat berjemaah.



Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.