Berfikir dahulu sebelum pilih moratorium

'Urus hutang sebelum moratorium tamat'




KOTA KINABALU: Peminjam yang memilih untuk moratorium harus faham kadar faedah masih berjalan selain jumlah penuh mereka perlu bayar akan meningkat.

Dalam satu kenyataan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menjelaskan sekiranya peminjam menstruktur semula dengan kadar bayaran yang lebih rendah, tempoh bayaran balik pinjaman akan dipanjangkan, maka jumlah pembayaran balik tetap meningkat tetapi pada jumlah yang berbeza.

"Semuanya bergantung kepada kemampuan seseorang peminjam. Utamakan keperluan asas dan simpanan waktu kecemasan, perbelanjaan lain harus ditangguhkan serta beri keutamaan kepada penyelesaian pinjaman.

"Bagi peminjam mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dan tidak boleh memohon moratorium dari bank, boleh juga menghubungi AKPK bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai serta khidmat nasihat kewangan," kata dalam kenyataan berkenaan.

AKPK menasihati para peminjam bahawa moratorium bukan pengecualian pinjaman tetapi penangguhan pinjaman dan setiap penangguhan ada kosnya.

Oleh itu, sebelum mengambil keputusan moratorium, peminjam perlu berfikir dengan sebaiknya. Sebelum mengambil keputusan, nilai perbelanjaan dan pendapatan yang ada, utamakan keperluan serta tentukan berapa yang diperlukan.

Mungkin bukan semua pinjaman perlu diambil moratorium. Ada yang mampu dibayar lagi. Merancang kesinambungan pendapatan supaya dapat membayar pinjaman semula dan tambahkan ilmu pengetahuan kewangan dengan mempelajari pelbagai kursus percuma dalam talian di https://power.akpk.org.my.

Perbezaan moratorium kali ini adalah konsep 'opt-in' iaitu mereka yang memerlukan boleh memilih untuk mengambil moratorium berbanding dengan yang dahulu iaitu konsep 'opt-out' di mana ia diberikan kepada semua dan siapa yang tidak memerlukan boleh memilih untuk meneruskan bayaran kepada kemampuan seseorang peminjam.

Tidak ada sebarang syarat dikenakan oleh insitusi kewangan untuk mendapat kelulusan ini seperti pengurangan pendapatan atau dokumen sampingan.

AKPK menawarkan kursus RUMAHKU yang merupakan modul online khas yang bertujuan membantu bakal pembeli rumah pertama membuat perancangan kewangan yang bijak.

Dapatkan panduan dan maklumat berguna tentang pemilikan rumah di Malaysia dan jalankan penilaian kendiri sama ada anda sudah bersedia, mampu dan layak untuk mengambil pinjaman perumahan.

AKPK menyediakan perkhidmatannya secara dalam talian secara holistik dan menyeluruh kepada individu dan PKS.

Individu dan PKS yang ingin mendapatkan perkhidmatan AKPK boleh melayari https://services.akpk.org.my dan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan kami.

AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga dan perkhidmatan AKPK adalah percuma kepada semua individu dan PKS.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.